Wednesday, November 26, 2008

Pendidikan Alam Sekitar 2

Kolam Ikan. Ada dua buah kolam ikan dibina di sekolah. Satu berdekatan tangga blok Pentadbiran dan satu lagi di sisi bangunan blok D. Kedua-dua kolam itu diisi dengan ikan ternak. Satu diisi dengan ikan koi dan satu lagi ikan talapia.

Kolam yang diisi dengan ikan koi sering menarik perhatian kerana warnanya yang pelbagai dan cantik. Sementara di kolam satu lagi juga menarik perhatian pelajar kerana ikan talapia sangat cepat membiak. Jumlah ikan yang bertambah secara berperingkat-peringkat menjadikan kolam talapia padat. Ini menyebabkan lalu lintas ikan-ikan di dalam kolam itu menjadi menarik. Jika diteliti ia seakan-akan sama dengan aktiviti kehidupan manusia yang menggunakan laluan yang sibuk di bandar.

Akhirnya ketika musim cuti sekolah semua kolam menjadi kosong. Nyatalah segala yang menarik itu rupa-rupanya menjadi minat kepada manusia untuk mendapatkannya secara percuma biarpun secara tidak halal.

Apabila sekolah dibuka ada pelajar yang menangis kerana ikan kesayangan mereka telah hilang dari kolam. Setelah diselidiki pelajar-pelajar ini adalah di antara petugas yang memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut. Dari peristiwa ini saya mendapat banyak keinsafan:

i. Sebahagian pelajar membuat tanggapan bahawa ikan-ikan itu tidak diberi makanan sepanjang cuti panjang persekolahan.

ii. Masih ada manusia yang lebih mementingkan kepuasan diri sendiri daripada berkongsi kepuasan dan kegembiraan secara bersama.

iii. Kasih sayang perlu dipupuk, kesedihan perlu dipujuk.

iv. Dalam kehidupan ada sesuatu yang berupaya dibeli tetapi tidak semua yang boleh dibeli dan dikuasai.

v. Kita menangis untuk segala yang kita sayangi dan sesudah yang kita sayangi itu tiada lagi.

Sunday, November 23, 2008

Babi Sungguh

Isu ladang babi. Jijik pun jijiklah. Kata tetap kena kata. Tuan-tuan tahu tak, mengapa ladang babi di Pulau Pinang ditutup? Kata Nabil, si raja lawak, 'Lu Fikirlah Sendiri'.

Pemerintah Pulau Pinang tahu bahawa najis babi itu adalah maha pencemar alam sekitar. Kajilah. Selidiklah. Hanya orang yang arif sahaja yang akan berusaha mencari alasan agar babi tidak diternak di negerinya. Peristiwa 'virus nipah' di Melaka telah menghantui Lim Guan Eng. Dia anak Melaka maka dia pasti lebih tahu betapa bahayanya menternak babi secara besar-besaran. Sebab itu bab menternak babi dibuang dari negeri Pulau Pinang.

Malang sekali, apabila ternak babi ditutup di Pulau Pinang yang rakyat keturunan Cina dan India menjadi mojoriti di negeri itu maka tak semena-mena Kedah Sejahtera tawar diri menjadi galang ganti. Selangor bangga untuk menjadi juara ladang ternah babi terbesar di Malaysia. Kita tentu tidak berupaya menghalang orang Cina dan India mentekedarah babi. Lantaklah. Yang kita musykil mengapa Kedah dan Selangor beria-ria untuk ambil alih?

Apakah segala yang dibuang, kita perlu ambil dan guna pakai? Benar, ladang babi yang bakal dibuka itu akan menggunakan teknologi moden. Benar. Benar. Logik. Munasabah belaka. Namun mengapa Pulau Pinang tidak memodenkan ladang ternak babinya yang sedia ada dengan teknologi terbaru dan terkini? Mengapa perlu tutup. Itu pun pemimpin Melayu Islam tidak berupaya membaca minda celakoi seperti itu.

Pulau Pinang boleh tambak laut atau cari pulau tidak berpenghuni dan bina ladang babi mesra alam berteknologi tinggi kerana dia mampu untuk menyediakan bekalan daging babi kepada rakyatnya yang gemar makan babi. Kedah tidak perlu kerana rakyat keturunan Cina dan India di Kedah hanya perlu tumpang sekaki hasil daripada ladang ternak di Pulau Pinang. Selangor pun boleh tumpang semangkok. Saya mewakili rakyat keturunan Melayu Islam melahirkan rasa malu kerana pemimpin Melayu Islam menjadi buta kayu hingga setuju merealisasikan ladang ternak babi di negeri majoriti Melayu.

Thursday, November 20, 2008

Pendidikan Alam Sekitar 1

Waktu saya menjadi pentadbir sekolah, saya mengambil sikap sama seperti Tan Sri Sanusi Junid. Urustadbir ini akan berkesan jika kita mempunyai maklumat. Data. Sumber maklumat dan data boleh kita perolehi melalui pembacaan, pemerhatian, perkhabaran, gambar dan perbualan. Sekiranya kita mempunyai maklumat/data maka banyaklah rahsia yang menjadi modal dan senjata dalam pentadbiran. Ini tidak bermakna cara itu adalah yang terbaik. Secara kebetulan gaya kepimpinan saya dengan TS Sanusi agak sama. Pentadbiran ini adalah seni. Ini bermakna kita boleh memilih gaya kepimpinan berasaskan kepada wadah dan matlamat kita. Pilihlah. Semuanya tidak salah asalkan hala tuju dan visinya tercapai.

Menjadi ketua dalam sesuatu pentadbiran pasti akan berhadapan dengan cabaran. Itu satu kepastian. Ketua mesti mempunyai keberanian, berilmu, sabar dan peka. Segala nilai murni patut dimiliki biarpun pada ketika tertentu kita tidak berupaya lagi mempertahankan nilai itu kerana nilai itu tidak ada dan tidak diguna pakai di pihak kedua atau ketiga.

Sembang-sembang kali ini saya ingin membawa isu pendidikan alam sekitar. Tidak mudah untuk menerapkan asuhan agar anak didik kita peka dengan alam sekitar. Mendidik untuk sentiasa jadi bersih sahaja pun tidak menjadi. Ada guru yang marah kerana didikan dan asuhannya tidak pernah diamal oleh murid. Kempen 'SAMPAH BUANG DALAM TONG SAMPAH' tidak berjaya 100%. Masih ada pelajar yang menyelitkan sampah di celah-celah pohon bunga. Pembalut dibuang ke longkang dan parit. Mengapa?

Satu hari saya masuk ke kelas dan bertanya kepada pelajar dan meminta mereka mengeluarkan kertas tulis dan pena. Saya minta mereka senaraikan apa yang mereka anggap sampah di sekitar sekolah. Apabila dianalisis, saya dan rakan-rakan terkejut kerana bagi pelajar, mereka keliru apa yang dikategorikan sebagai 'sampah'. Bagi pelajar; tisu, bekas minuman, surat khabar dan daun-daun bukan 'sampah'. Pada pemahaman mereka 'sampah' adalah sesuatu yang 'kotor'. busuk, dan menjijikkan. Jadi surat khabar, dedaunan, batu bata, rantingan, kertas comotan, bunga-bungaan yang berguguran, plastik bungkusan, kapur tulis, tong cat, peralatan terbuang, kerusi meja yang rosak adalah bukan sampah. Maka disebabkan pemahaman itu mereka tidak mempedulikan persekitaran yang dicemari dengan benda-benda tersebut. Lucu. Buatlah kajian maka akhirnya kita akan tahu betapa maklumat dan data itu perlu kepada kita untuk mengurus sumber manusia untuk tujuan mendidik.

Saturday, November 15, 2008

Kedah Sejahtera 2

Haiku
Masih hijau
Pohon merendang
Impikan damai


Tuesday, November 11, 2008

Caca Merba

Pak Lah meminta Kementerian Pelajaran Malaysia memasukan item inovasi dalam kurikulum. Bulan lalu beliau meminta agar subjek sejarah diajar di sekolah. Sebelum pencen berapa banyak lagi agaknya cadangan dan perubahan yang mahu dibuat oleh Abdullah? Persoalannya, siapakah yang akan melaksanaan segala cadangan itu? Kelemahan kita ialah seringkali membuat cadangan untuk dilaksanakan oleh orang lain sedangkan kita menjadi jurucakap. Tukang cadang. Kita sering mengharapkan kejayaan sedangkan kita bukan lagi menjadi pengamal yang tekun merealisasikan gagasan itu. Akhirnya, kita menjadi pemukul gong. Pemukul canang. Hasilnya tiada. Yang bercelaru di peringkat dasar adalah para pegawai tinggi kementerian, sementara para pendidik di peringkat pelaksana semakin kebingungan dengan mulut dan lidah politik.

j-QAF, sistem perjawatan Pendidikan, PPSMI, Sekolah satu sesi, PIPP, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Perjawatan Guru, Pendidikan Bertaraf Dunia, Pelaksaan Bajet 2008 dan 2009. Pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9, Subjek Sejarah di Sekolah Rendah, Ura-ura rombakan sistem peperiksaan dan lainnya memerlukan penglibatan warga pendidik. Kasihan mereka. Tanggapan bahawa warga pendidik diberi cuti panjang masih menjadi tanggapan kukuh masyarakat. Sedangkan hakikat sebenar mereka terpaksa menghabiskan waktu cuti penggal dengan penuh aktiviti disamping dipaksa berkursus.

Cuti guru disulami dengan program lawatan pelajar, Motivasi, perkhemahan, sukan, kokurikulum, perayaan, kelas tambahan, program keagamaan dan latihan amali untuk peperiksaan. Semuanya memerlukan penglibatan total warga guru. Ini belum lagi ditokok tambah dengan tugas mengawasi peperiksaan awam, peperiksaan jabatan, urus tadbir pengurusan sekolah (buku teks, disiplin, kaunseling, kantin, pemulihan, kurikulum, HEM, kokurikulum, data, penyelenggaraan, stok, keceriaan, dll), termasuk menjadi juruiring lawatan pemimpin kecil dan besar negeri atau negara. Meskipun bukan semua warga pendidikan terlibat namun rata-rata tidak sempat menikmati percutian mereka dengan kelegaan yang sejati.

Dalam senario yang diperkatakan di atas, mana satukah yang benar-benar telah terlaksana dengan berkesan dan berjaya? Tidak hairanlah jika ada pendidik yang baran dan bertindak di luar batas susila. Kantin sering keracunan. Kertas peperiksaan sering didakwa bocor. Program j-QAF kekurangan guru dan pelaksanaannya bercelaru. Agihan tugas guru agama dengan guru j-QAF sering kecoh. Waktu bertugas guru j-QAF terlalu panjang jika diambil kira waktu diluar jadual. Buku teks lambat dibekalkan. Disiplin merosot.

PM dan Kementerian Pelajaran patut duduk semeja dengan para pendidik untuk mendengar masalah di peringkat pelaksana. Laporan pegawai kadangkala lebih mirip kepada resam ubi yang dikatakan berisi serta subur serta segar bugar namun di peringkat pendidik bawahan lebih banyak resam besi kerana terlalu banyak karat yang perlu dikikis.

Kegagalan merealisasikan pendidikan di negara kita adalah kerana terlalu kerap memasukkan bahan sehingga kari menjadi dalca dan nasi menjadi bubur. Akhirnya jadi caca merba.

Saturday, November 8, 2008

Buruk Laku

Bilik guru dan kantin adalah tempat lepas geram. Banyak rahsia yang tidak menjadi rahsia lagi. Terbongkar. Jadi bualan dan jadi ejekan. Demi persahabatan banyaklah rahsia yang disimpan kejab. Soalnya kita seringkali mempamerkan diri kita untuk dibenci kerana kata-kata. Manusia normal biasanya menilai diri orang lain untuk dibandingkan dengan diri sendiri. Amat luar biasa jika kita seringkali menilai diri kita sentiasa lebih baik daripada rakan-rakan kita. Tanpa cacat cela. Selagi kita berjenama manusia maka selagi itulah kita sentiasa terdamping dengan kelemahan. Jadi mampukah kita membina kehidupan kita sendiri di pulau yang tidak mahu dikongsi? Renung-renungkanlah. - Cikgu Shariddin 1997
Saya galak tulis haiku. Puisi Jepun yang padat tetapi rejamannya amat mendalam.

Untuk seorang guru.

Murai di bilik guru
Terkejut lipan bara
Kain dipakai koyak rabak

Singggah dan sembang-sembang di warung saya. Jumpa lagi. Selagi hayat masih ada rahsia yang tersimpan untuk dijadikan senjata sekadar membela diri. Saya tetap anak jantan.

Tuesday, November 4, 2008

Tanahairku

Haiku
untuk anak-anakku: Syakiro, Lanzo, Fuzama dan Najiro

i
Hujan menangis
Tanah gunung lerai
Anak desa mengemis

ii
Balak nan sebatang
Jentolak meneresi bukit
Akar putus berlinangan Airmata

iii.
Gelap malam
Siang berjerubu
Hilang jalan untuk dituju

iv.
Angin nan kencang
Terselak buku catatan
Hanya dakwat-dakwat hitam

Sunday, November 2, 2008

Tentang Penghuni Rimba

Di Puncak Nawang ini kita boleh melaungkan sekuat suara. Launglah. Marahlah. Teman-teman hanya tersenyum. Mereka cukup faham. Di puncak jajaran bukit-bukau ini tiada sesiapa pun yang bergelar kurang siuman. Setiap laungan didengar dan dinanti. Sesekali akan dijawab dengan laungan balas. Kita menjadi hak rimba raya. Penduduk rimba yang bebas lepas. Merdeka. Di sini erti kebebasan sangat berbeza dengan kebebasan di kota raya. Hanya orang gila sahaja yang sanggup melaung sekuat hati di tengah-tengah kota.

Di sini pacat tidak tahu memilih status. Semua darah adalah rezekinya. Darah daripada semua bangsa dan semua jenis jantina. Yang berbeza hanya sudut yang dipilih untuk menyedut darah. Di kota yang memilih darah ialah doktor. Penjenayah. Paku. Pisau. Parang. Kapak. Sembilu. Pedang. Keris dan banyak. Terlalu banyak. Begitulah kenapa hidupan di rimba lebih bahagia. Aman damai. Lebih abadi.

Di rimba ini ini semuanya percuma. Air. Makanan. Jamong. Yang dibeli hanya pakaian dan mancis. Pisau dan golok. Di sini tiada perompak. Pencopek. Peragut. Rempit. Bohsia dan Bohjan. Tiada. Pelacur jauh sekali. Jika ada hanya manusia kota yang datang merogol bukit dan mencuri balak. Penghuni rimba tidak mungkin bertindak sekejam itu. Jangan risau jika saya dan rakan-rakan semakin kerap menjadi penghuni rimba dan jarang-jarang boleh dihubungi. Di Puncak Nawang tiada warong. Tanpa warong maka tiadalah omong-omong kosong.