Thursday, December 24, 2009

1 Malaysia Semakin Huduh.

Tarik nafas lega.

Kita manusia biasa. Kita memiliki kelebihan tertentu kerana ia dianugerahi oleh Allah. Jika ini yang menjadi pegangan, insya-Allah kita berada di landasan yang membolehkan kita sampai ke takah seterusnya. Kehebatan kita, yang kita konon-kononkan janganlah sampai kita lupa diri bahawa kita berupaya menandingi segala yang ditakdirkan oleh Yang Maha Hebat. Allah.

Akhir-akhir ini terlalu ramai yang lupa diri hingga sanggup menidakkan takdir. Hari ini saya cuba menitipi kesilapan kita akibat diresapi keegoan, atau kerana terlalu marah, bosan, muak, loya, terkilan, terhiris, luka, sepi, sayu, sedih, tersinggung atau entah apa-apa yang sudah tak keruan lagi. Mari kita semak. Sesekali kita perlu lena sesedapnya untuk menghirup nyamannya bernafas. Alhamdulillah kerana Allah masih menghulurkan dan meminjamkan nikmat nyawa untuk kita terus bernafas.

Persediaan. Apa pun dalam lingkupan kawah kehidupan ini kita perlu persediaan dan bersedia. Bersedia untuk kehilangan kawan. Untuk sihat. Untuk sakit. Untuk bahagia. Untuk derita. Untuk memperolehi sahabat. Untuk memperolehi musuh. Untuk sabar. Untuk insaf. Untuk makan. Untuk puasa. Untuk kenyang. Untuk lapar. Dan itu sahajakah? Sebenarnya perjalanan mencari dan menimba ilmu itu akan berakhir ke hujung hayat. Pastinya ada ria dan ada duka. Pasti ada dugaan.

Hari ini, saya titipkan warkah ini adalah kerana saya diinsafi oleh ganjakan usia dan kegasakan bangsa yang kian merudum. Kita dididik untuk jadi baik budi, baik pekerti, baik bahasa, baik agama, baik budaya, baik ekonomi, baik sosial dan segalanya. Ibu, ayah dan guru tidak mendidik kita untuk menjadi samseng atau penyangak. Tidak juga untuk menjadi penipu, pembelot, penderhaka, perampas, dan segala yang ditafsirkan buruk dan jahat. Tidak sama sekali. Tetapi hanya ke arah yang baik-baik belaka. Namun baikkah kita? Doa kita, ingatan kita, kasih sayang kita, cinta kita untuk siapa? Untuk diri? Untuk ibu? Untuk ayah? Untuk keluarga? Untuk guru? Untuk bangsa? Untuk negara? Untuk Rasul? Untuk Allah?. Seringkali kita lupa fokus. Alpa. Cuai. Tersasarlah.

Nilai semakin berubah. Kadangkala kejahatanpun semakin bertukar menjadi baik. Nilai jahat kian dianggap baik kerana kebiasaan. Anak gadis merayau malam. Anak lelaki pulang dini pagi semakin rutin. Remaja melayu Islam berseluar kontot menjadi biasa. Semakin tidak janggal walaupun di khalayak kenduri. Walaupun di kediaman kematian. Pakaian basahan di rumah anak-anak kita sama miripnya dengan rakan-rakan bukan Islam. Seluar kontot paras lutut. 1 Malaysia.

Saya sama sekali tidak marah kepada anak orang, saya hanya marahkan anak sendiri. Tatacara berpakaian adalah imbasan pendidikan seseorang. Ia adalah gambaran salasilah keluarga. Nilai. Budaya. Bangsa. Agama. Masakan sama pakaian untuk ke pesta dengan pakaian untuk ke masjid. Pun tidakkan sama pakaian ke padang permainan dengan pakaian ke rumah saudara mara. Siapa yang patut menjadi pendidik?

Masakan sama bedak dengan arang. Juga takkan sama gula dengan garam. Itulah darjat di antara beribu darjat yang perlu kita nilai dan pilih. Jadilah pemilik minda kelas pertama yang kuat akar agama dan budaya bangsanya. Soleh dan solehah.

Monday, December 7, 2009

Takziah

Untuk Adindaku Khatijah Haji Shaari.

Awal akhir kehidupan yang tersusun
Hanya Dia penetap yang tak berganjak
Mati itu benar
Usia dianjak ke garisan yang terahsia
Padanya ditentukan ajal
Biar sesedu sedih dukamu itu
Kau perlu rela adikku
Hak kita sudah selesai
Hanya Dia Mahakuasa lagi saksama.

Sepi sunyi yang menghimpit
Adalah laluan takdir yang kita susupi
Lepaskanlah dengan leluhur rela
Pasrah kepada ketentuan perjalanan kita
UjiNya hanya kepada yang rela dan tertanggung
Kau telah menatang ujian itu setabahnya
Tanpa rungut, tanpa keluh, tanpa kesal.

Hari ini kupungut kesedihanmu adikku
Dengan sedikit hujan air mata
Untuk aku belajar tabahNya seorang solehah
Yang sedihnya di bibir yang tersenyum
Sayangnya di lembut bicara loka
Setianya kejab kukuh terbelit.

Adikku
Hari ini telah kau lepaskan seorang sang suami
Dengan redup murung nestapa kasih
Tiba-tiba terpaksa kau lepaskan lagi seorang anak
Ketika perigi sedihmu masih bertakung
Hingga menjadikan kau kembara duka
Mencari padang pelabuhan tumpang
Biarpun awan dikelumbungi gelap mendung
Berlabuhlah adikku
Pada hentian takdir yang tertitip.

Adikku
Masakan upaya ku cedok kegetiranmu
Yang tertahun-tahun kau usap kasih itu
Biarlah kita lalui denai damai
Dengan berserah kepadaNya
Al-Fatehah.

Monday, October 26, 2009

Sesudah 13 Tahun

Wawooo.
13 tahun sudah berlalu. Sudah 13 tahun ayahanda meninggalkan kami sendirian. Secara kebetulan saya hanya sempat menyelongkar khasanah yang tersimpan rapi. Nyatalah ayahanda saya seorang yang sangat rapi. Teliti. Meskipun beliau hanyalah produk sekolah pondok namun sistem menyimpan maklumat dan data masih sistematik.

Saya menjumpai buku-buku, catatan-catatan , rekod dan resit. Hoh. Hebat. Ayahku hebat. Khazanah yang ditinggalkan tidak ternilai untuk dihayati. Terima kasih ayah. Al-Fatehah.


Monday, August 17, 2009

Merisik Khabar Bakal Menantu

Sengaja disisip untuk diabadikan sebagai catatan sejarah dan ingatan keluarga. Selamat Datang Seri. Kita saling menumpang dan menganyam kasih. Pancor, Pokok Sena Kedah 15 ogos 2009.

SERI

dipetik kuntuman wangi
disunting ke pundak
semerbak di persada

terpercik wangi kasturi
tercalit kasih
ikatan berbudi sebati

terbentang sumur di permatang
terhidang damai
doa tertambat di pohon berakah.

Tuesday, April 28, 2009

Di Pusara Ayahanda

Langkah akukah ini
longlai dan sepi
di pusara ayahanda
tercicir airmata
dengan doa selaluku
kolam rindu bertakung jua
bebunga pilu

Ayahanda
cempaka wangi ria
akan kukongsi sendiri
tiada lagi ceritamu
hanya kenangan
silamku di sisimu hanyut berlalu
kupaut kembali satu persatu.

Pagi sesunyi ini
seperti ditinggalkan kekasih
aku mencari suaramu
meraba pipi dan merenung senyuman
aku kehilangan sisi
tidak mungkin kurebahkan lagi diri ini
di ribamu
aku kehilangan lagi
ditinggalkan dalam sepi.

Ayahanda
masakan dapat aku melupai
riaku di sisimu
Ayahanda
masakan dapat aku memadamkan
Catatan ingatan itu.

Wednesday, March 25, 2009

Tahniah dan Syabas Intan Tersayang










langit biru
serlah mentari siang
Langkah pertama bermula

hening pagi
arakan bertingkah sorak
detik laju berlalu

gerimis ria merinjis
membasahi kilauan bintang
sebutir intan bersinar lagi

Alhamdulillah Ya Rabbi.

Wednesday, March 4, 2009

Kenangan 4

Sesekali bersendirian dipinggir sungai kecil di rumah tua kami, terlalu banyak kenangan yang bertandang. Terkenang sanak-saudara yang mendahului kerana panggilan Illahi. Arwah Ayah yang sering menunggu di pintu pada setiap Khamis. Matanya tentu terimbau ke jalan untuk meninjau kehadiran anak-anak dan cucu-cucu. Riuh rendah halaman rumah tua kami. Berkumpul dan makan beramai-ramai. Berjamaah dengan berimamkan Arwah Abang Omar. Bacaannya lunak dan memukau.

Hari ini saya cukup terasa. Semuanya semakin terasing. Zaman remaja hilang beransur-ansur. Hari tua merangkak tanpa nokhtah lagi. Tiada lagi udang galah. Pohon nipah. Ikan palaga. Belacak nipah. Baung. Keli jepun. Semuanya hilang beransur-ansur. Kerinduan kepada galak haruan menangkap umpan di musim hujan telah lenyap. Siolan wak-wak dan kedidi hilang tanpa disedari. Yang masih ada hanya sang bangau yang singgah bermusim. Suara ketitir dan tekukur milik ayah juga telah tiada. Tiada seorang pun anak-anak dan cucu-cucu yang berminat kepada suara burung. Tiada. Demikanlah kita dihukum kerana tidak menghargai khazanah alam dan warisan yang gagal dipelihara.

Untuk ibu saya, saya titipkan sajak ini.

Sebatang Kara
T.Alias Taib

yang ada di sini
hanyalah sebuah pondok
kecil dan terpencil
tanpa halaman
tersandar di kaki bukit
di antara kali sepi
dan tanah merekah

yang ada di sini
hanyalah seorang nenek
tua dan kerdil
tanpa suara
mencari cucunya yang hilang
di lingkaran mimpi yang berkabut

yang ada di sini
hanyalah sebuah pelita
yang tersangkut di paku
tanpa cahaya
hanyalah sebuku kemenyan
terbakar
di malam-malam hitam-sayu

1974

Al-fatehah untuk arwah Haji Shaari Awang Kecik, Kanda Ibrahim, Kanda Mariam ,Kanda Omar, Anakanda Asyaraf dan sahabat saya penyair T.Alias Taip.


Friday, February 20, 2009

Kerana Ikatan Susila

Kadangkala rasa kekongkongan kerana membuat laluan ke blog anak-anak. Kadangkala seakan tidak memberi kemerdekaan untuk mereka bebas menulis. Namun sebagai insan yang mewarisi watak pendidik tegar, saya semacam dirasuk oleh disiplin untuk menjadi pemantau yang mungkin tidak disenangi. Entahlah. Emosi lewat usia ini memagari minda saya untuk sentiasa dirasuk kacau supaya tidak terus melepas bebas anak-anak berkarya mengikut minta terbuka mereka. Di sudut kecil hati mereka mungkin tersisip rasa kongkongan itu. Gurisan-gurisan yang terpendam disimpan kukuh hingga tidak terluah, semata untuk tidak melukakan hati saya. Mungkin.

Terhentak di paksi kehidupan yang penuh kecelaruan budaya ini menjadikan saya penitip yang curiga. Apakah anak-anak saya berupaya kekal setia dengan budaya bangsa yang kukuh budi pekerti. Menjadi penulis yang santun dengan bahasa yang tersisip nilai mengikut laras Islam. Mendukung misi dan visi warga yang bertemadun dan terdidik. Patriotik. Berminda merdeka. Kritis dan kreatif. Kecindan yang tidak melampaui batas susila bangsa.

Tidak mudah untuk menjadi penyemak entri anak-anak. Peluang perlu diberi. Kebebasan bersuara juga harus dimerdekakan. Pemikiran dan tanggapan terhadap sesuatu isu kerap berbeda. Perbedaan itu dijarakkan oleh faktor usia, pendidikan, pengalaman dan sudut pandangan. Semuanya bukanlah menjadi pagar halangan. Rasukan ketakutan saya cuma kepada laras isu dan gaya bahasa yang dipilih. Sedih jika anak-anak berjaya dirasuahi dengan bahasa berbudaya rendah. Maki hamun menjadi mainan jari dan bibir. Menjadi celakalah perjalanan hidup kita jika anak-anak mendalangi penulis blog yang berbudaya rendah meskipun memiliki ilmu dan akal budi yang bertunjangkan suci murni.

Syukur kerana blog anak-anak saya masih di landasan. Meskipun kadangkala tersisip kecindan kepornoan namun ia sekadar gurau yang dibalami makna luhur. Kadangkala hanya minda yang keroh dan kotor sahaja yang membelokkan kita ke persimpangan dan bertembung secara songsang. Akhirnya, saya memadamkan igauan yang terperam ini dengan pesanan 'martabat diri jangan biarkan hingga ia dicuri dan dinodai oleh lidah dan minda sendiri'. Hidup kita diikat oleh tamadun bangsa dan leluhurnya Islam. Demi ikatan itulah kini kita terus berbakti . Terima kasih kerana menjadi anak abah dan mama yang baik dan terpuji. Berbudi dan berbakti. Berbahasa dan berbudaya.

Tuesday, February 10, 2009

Salam Kembara Untuk Palestin

Mencari Jalan Pulang

Ketika anak bangsa melalak di jalanraya, kita yang sejahtera di desa terpaksa ikut sengsara. Sesama bangsa mencaci mencela. Hinanya kita. Islam mendidik dengan lembut, murni dan suci. Siapa guru kita yang mencelarukan kehidupan hingga bersengketa sesama seagama. Kita mewarisi budaya Fatah dan Hamas di Palastin. Retak rumah tangga hilang sejahtera. Hilang tahta hilanglah negara. Hilang kuasa kerana tak sekata. Melayu Islam semakin hilang punca.

Wednesday, January 14, 2009

Terakhir Kali

Kutampal koyak bajumu
dengan air mata dan darah
ketika kau rebah di riba bondamu
hanya sempat kau sebut
Gaza. Gaza. Lailahaillallah.

Monday, January 12, 2009

Wira Gaza

Darah siapa di dadaku
panas dan laju
jika terakhir kali pertemuan ini
akan kugenggam juga tanah Palestin
biarpun segumpal ini.

Bukan airmata
tetapi darah.

Kiranya kau masih upaya tersenyum
aku serahkan serpihan daging yang berkecai ini
balutlah dengan selimutmu
dan tidurlah di dada Gaza.