Tuesday, June 29, 2010

Layar Kenangan

Saya amat bersyukur kerana dikurniakan kakak dan adik-adik masih kekal seperti dahulu. Tutur dan bualan mereka tetap sama. Lunak dan sopan. Penuh hormat. Payah untuk mencari suara-suara yang meninggi. Sindir menyindir. Amarah. Terkilan dengan situasi apa sekalipun mereka tetap menjaga budaya berbicara sesama keluarga dengan sopan santun. Demikianlah tertibnya asuhan oleh kedua ibu bapa kami. Biarpun tanpa pendidikan tinggi namun ayah dan ibu amat berjaya menyemai kasih sayang antara anak-anak. Kasih sayang itu abadi sehingga kini. Harga kasih sayang ini jauh lebih bahagia dari segalanya.

Layar kenangan ini semakin mengimbas dan mengimbau. Rasa takut akan kegagalan mendidik anak-anak menghentui perjalanan hidup yang semakin dikarau. Doa dan harapan menjadi igauan minda sepanjang siang dan sepanjang malam. Rasukan dan resapan kesongsangan gaya hidup telah mencanai budaya baru yang amat menakutkan. Kini segalanya ada. Meresap. Mengalir dan merebak. Halus dan lunak. Tanpa kita sedari gaya hidup anak-anak dipintal dan dibelit hingga sukar diurai agar kembali ke akar umbi budaya bangsa. Saya berdoa agar airmata tidak menitis kerana dituduh gagal mendidik anak-anak saya. Kepada mereka terpikul tanggungjawab itu untuk sentiasa menjaga nama baik diri, ibu bapa, keluarga dan keturunan.

Friday, June 18, 2010

Kenangan 7


Sesekali elok kita mengimbau kenangan. Santai bersama keluarga.

Tuesday, June 1, 2010

Jumpa Lagi

Alif baru darjah 2. Tinggal di Semanggul. Entah daripada sumber dapatan mana saya kurang arif, tetapi ssetiap kali bertemu Alif akan mengemukakan teka teki dengan penuh ceria. Piawaian teka tekinya tidak perlu diambil kira, yang penting emosi seorang kanak-kanak yang tidak menyembunyikan apa-apa. Tanpa sindir. Tanpa hasad. Tanpa duka nestapa. Dia mempamerkan dunia kanak-kanak yang tidak mengerti kesedihan. Kegembiraannya dirayakan seada-ada mungkin.

Alif : Pak Ndak, Namakan binatang paling gagah di dunia?
MS : saya sebut segala jenis nama binatang yang terlintas di minda saya.
Alif : salah...salah. salah. salah.......dan salah. (Alif melompat keriangan) Pak Ndak tak tau ya? binatang tu kecil sahaja.....
MS : semut, anai-anai, kuman, lipas, cengkerek. lipan. belalang.
Alif : Terkinja-kinja. Binatang ni......tahinya ada dua warna.
MS : Saya agah dengan bermacam jawapan. burung. monyet. udang. ikan. harimau. ...
Alif : Aleeh, senang saja Pak Ndak. CICAK. kan dia selalu tahan siling dan dinding dengan tangan dia. ......dia gelak semau-maunya. Kami turut ketawa bukan kerana jawapannya itu tetapi kerana aksi dan gelagatnya yang sangat kecindan.

catatan:
Sekalipun kita tahu jawapan tetapi berilah ruang dan peluang untuk si kecil merasai kemenangan, kehebatan, dan kebanggaan.
Kita lebih gembira jika mereka gembira.