Saturday, August 13, 2011

Selamat Berbuka ii

Masuk zon senja merangkak tiba. Menu kami berdua penuh dengan syarat dan kerapian . Tapis berlapis-lapis. Semua menu berbuka dirancang padat padu. Untuk mengurangkan lemak. Kurangkan kabohaiderik. Kurangkan gula. Kurangkan garam. Kurangkan berasid. kurangkan kolestrol.Makan jangan lajak terlalu banyak. Minum air banyak-banyak. Demikianlah undang-undang yang tidak pernah saya patuhi.

Sunah. " berhenti makan sebelum kenyang". Pokok pangkalnya siapakah yang benar-benar faham dan patuh?. Soalan mudah ini amat mudah dianalisis tetapi amat payah diajukan. Ramai yang akan marah. Sebelum kenyang berhenti makan. Bolehkah?. Boroi. buncit. tambam. gemuk. bulat. berisi. Akankah semua perubahan fizikal ini terjadi jika kita mematuhi sunah. Ketika berbuka kita lanyak macam lori sampah kosong. Segalanya kita sumbat. Sesudah solat magrib kita menyulur dan berlengkar bagai sawa kekenyangan.

Akhirnya kita mencari mana-mana SPA untuk uruskan berat badan. Kita cari mana-mana pusat perubatan untuk uruskan kesihatan. Biaya untuk itu tidak masuk perkiraan. Cakap sahajalah berapa banyak. Wang boleh dicari. Tetapi jika ada peminta derma yang menadah tabung kita tiba-tiba kelabu mata. Tidak nampak. Tabung masjidpun cuma kedengaran wang yang berbunyi. Wang yang tidak berbunyi jarang-jarang. kadang-kadang. Lalu bagaimana ramadhan kita kali ini?. Ramadhan juga kian merangkak pergi. Kita kian merangkak mencari realiti dan hakikat diri. Sebenarnya kita belum lagi menjumpai diri kita. Kita tetap mencari bayang-bayang yang hilang ditirai malam. Usia kian terhakis tetapi masihkah lagi tidak kita temui penyuluh ke susur jalan pulang. Selamat berpuasa.




Saturday, August 6, 2011

Selamat berbuka

Menghadap makanan yang terhidang mengudang pelbagai nostalgia. Masa kanak-kanak yang berlalu. Masa mendidik anak-anak berpuasa. Melayan karenah anak-anak berbuka. Kini semuanya telah membesar dan menjadi perantau rezeki. Kembalilah kami mengadap hidangan berduaan. Sunyi. Sepi. Perbualan pun menjadi padat. Terlalu ringkas. Mungkin telah terlalu banyak jalinan kasih dan sayang yang terluah hingga menjadikan bual bicara menjadi banyak noktah. Selamat Berbuka.