Wednesday, September 28, 2011

ibu, ringgit dan Airmata.

Saya memang tegar. Payah untuk berair mata tetapi berhadapan dengan ibu kesayangan saya, ia menjadi situasi yang jauh berbeza. Hati amat mudah tersentuh. Entah mengapa sesudah solat Magrib Selasa 27 Oktober 20011 airmata bercucuran tanpa henti. Puas saya berusaha untuk meredakan namun ia gugur semahu-mahunya. Mata merah berkaca.

Ibu tahu bahawa saya akan kembara untuk sekali lagi ke Mekah. Dalam usia anugerah itu dia masih ceria menyokong hasrat saya itu. Mungkin bangga. Mungkin amat bersyukur kerana kembara saya ini adalah untuk melengkap laluan kepada siri-siri asuhan dan didiknya. Jernih harapan itu tepancar jelas. Sebaik sahaja selesai majlis bacaan Yassin saya menemui ibu untuk bersalaman. Untuk berterima kasih kerana hadir dan merestui anak nakalnya ini.

Ketika bertolak pulang ibu menghadiahi sebuah sampul bermeteri. Sampul misteri inilah yang mengocak dan menggongcang seluruh isi hati dan jiwa raga saya. Di dalam tersisip RM..... . Sesuatu yang diluar dari jangkaan saya. Tidak terfikir dan tidak dan tidak, tidak seterusnya. Jumlah itu amat kecil bagi mereka yang berada. Yang tidak pernah melalui perjalanan hidup yang payah. Diulik oleh kemiskinan. Perjalanan yang mengajar saya, kakak dan adik-adik untuk faham bahawa kehidupan ini adalah duka. Hirupan nafas yang penuh sedu. Hinggalah ditakdirkan rezeki itu melimpah untuk kami sekeluarga sehingga ke takah 'tahu berterima kasih'. Tahu bersyukur. Insaf. dan tidak diketegorikan dalam kelompok 8 hasnaf. Alhamdulillah.

Hadiah ini adalah beban kasih sayang yang terpaksa saya pikul. Walaupun saya menolak kerana naluri saya telah membaca dan berupaya menelah akan kandungan sampul tersebut. Ibu dengan tegas, jelas dan berterus terang mengungkapkan " ini yang mak nak bagi. Ambil". Kata-kata itulah yang hadir ketika saya membuka sampul tersebut sesusah selesai solat magrib. Inilah ringgit yang tidak sudi saya terima tetapi terpaksa yang ambil kerana kasih sayang. Ketika entri ini saya tulis, airmata saya masih juga berderai tanpa henti.

Wang ini akan saya simpan selagi hayat masih ada. Insyaallah. Nilai hadiah ini tak mungkin dapat saya bayar sampai bila-bila. Biarlah airmata ini terus berciciran untuk setiap kali saya menatapnya. Di situ ada dakapan kasih sayang yang tidak semua insan dapat mengecapinya. Terima kasih ibuku. Asma Haji Abu Bakar.