Thursday, December 29, 2011

Nilai 10 sen Belanja Sekolah

Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sebebola ais kepal
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan semangkok bubur kacang
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sekeping sotong kering masak kacang
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan secawan ais serbat berbiji selasih
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sebiji onde-onde berintikan kacang

saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi guru

saya ke sekolah kerana hendak membeli ais kepal, bubur kacang, sotong kering masak merah, air serbat biji selasih atau sebiji onde-onde. Itu sahaja.

Saya suka nasi lemak ikan keli kering dibaluti dengan daun pisang layur.

Saya suka bergayut pada juntaian tali jejawi beraksi seperti tarzan setiap cuti hujung minggu.

Saya suka membina bot batang nipah dan berkubang sambil membaling ketulan lumpur sesama kawan.

Saya suka mengopek kulit tebu dengan gigi, memamah isian hingga berhampas atau memamah belahan kelapa manis hingga kemerahan bibir.

Saya tidak suka disebat oleh ayah kerana beranang dan bermain bola sepak. Hanya inilah satu-satunya habuan yang mesti saya terima disebabkan kededilan dan kenakalan tegar yang bersebati dalam diri.

Saya menjadi guru kerana ibu dan ayah saya tersangat bangga 'saya menjadi guru'. Saya bangga menjadi guru kerana saya sangat menyayangi ibu dan ayah saya. Saya tidak pernah menyesal ditakdirkan menjadi guru malah saya berterima kasih kerana diterima menjadi guru.

Ibu saya seorang guru yang sabar, penyayang dan sering menangis ketika saya dirotani.
Ayah saya seorang guru yang tegas, garang tetapi sering menangis berpanjangan ketika saya berjaya.

catitan kecil mengingati masa silam yang berlalu.

Saturday, December 24, 2011

Al Kesah PRU 13

Saya amat takut untuk menjadi pengundi pada PRU 13 kelak. Membaca kelaku kelayak para peminpin menjadikan saya amat majai. Saya yakin sebahagian paparan di maya pada itu adalah benar dan tidak mustahil pula ada diantarannya adalah yang tidak benar. Malah yang tidak benar menjadi wadah kegilaan penulis semata-mata untuk mengadu domba kepimpinan ikutannya.

Mengapa kita menjadi semakin huduh semata-mata kerana aliran politik. Huduh hujah. Huduh alasan. Huduh Bahasa. Huduh budaya. Huduh sahsiah. huduh hingga ke asuhan dan agama. Hilang kemuliaan dan kemurnian akhlak diri. Hilang kesatuan. Hilang maufakat. Hilang pedoman. PRU 13 akan hilanglah kuasa bangsaku.

Ada tempayan dipecahkan. ada gayung digantung. Ada payung tiada kelumbung. Ada lorong lurus dibengkokkan. Rumah pusaka dibedak tiang. Ada tanah dipecah habuan. Ada hutan ditebang. Ada sawah dipawah. Ada dusun dipangkas. Akhirnya ladang menjadi sekangkang. Airmata kekeringan. Bulan tidak jatuh ke riba. Maka melayu hilang di dunia. Hang Tuah melahirkan Hang Malang. Ke pondok usang, pulang menjadi Lebai Malang.

Tuesday, December 13, 2011

Suara Bicara.

menggulung hujah
hingga ke akhir kata
masihkah ada
secebis nota
buat meralat mainan bahasa
ketika angkuh menghentak meja
tiba-tiba hanya engkau berbicara
di bilik tanpa manusia
sebingkai cermin
mengimbas wajah tuamu
ada suara menyanyi di bilik mandi
menyindir hujahmu
dengan hanya seuntaian kata
aku malu
menyebut namamu
di negaraku.