Wednesday, December 17, 2008
Tuesday, December 9, 2008
Demi Islam
Selamat kembali ke rantau untuk terus menitip perjalanan hidup demi sesuap nasi dan rezeki yang dikurniai. AllahuAkbar.
Thursday, December 4, 2008
Terbalik Kuang
Remajanya terhakis sedikit demi sedikit di SMKTAM, Kolej Metrikolasi Arau dan di USM. Semasa di USM tanpa ragu saya melepaskannya menjelajah. Biarpun kadangkala sendirian. Dia merantau ke China, Jepun, England, Belanda, Perancis, Hong Kong. Saya dan isteri merelakan pemergiannya atas dasar menerokai pengalaman dan ilmu.
Saya coretkan pengalaman saya ini kerana saya sekeluarga akhirnya terpaksa 'terbalik kuang' iaitu terpaksa akur dengan prinsip dan cara hidup alaf baru Intan. Demi menyokong perjuangan Alam Sekitarnya, kami sekeluarga tidak lagi menggunakan pembungkus tidak lupus. Hanya bahan yang boleh dikitar semula sahaja yang diguna pakai. Bayangkan kesusahan kami untuk tidak menggunakan pembungkus tak lupus ketika membeli belah di pasaraya atau di pasar basah. Begitu juga semasa kita memesan makanan.
Rupa-rupanya anak yang kita didik dengan disiplin akhirnya turut mendisiplinkan kita.
Malah menjadi lebih susah untuk mendidik rakyat Malaysia yang masih teraba-raba untuk memahami pencemaran alam yang masuk ke fasa kritikal.
Tuesday, December 2, 2008
Isu-Isu Akhir 2008
Petikan:PENDIDIKAN
Mingguan Malaysia - 18 Mac 2001
Hanya satu aliran - kerajaan didesak wujudkan sistem pendidikan ke arah perpaduan kaum
KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Pendidikan digesa mewujudkan hanya satu aliran persekolahan dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Ini memandangkan kewujudan banyak aliran pada masa ini telah terbukti tidak membantu mewujudkan hubungan harmonis antara mereka.
Malah, pergaduhan antara penduduk keturunan Melayu dan India di beberapa kampung di Jalan Klang Lama, Selangor, membuktikan bahawa ada kalangan rakyat masih tebal dengan sentimen perkauman.
Tokoh pendidik, Tan Sri Ainuddin Wahid berkata, kewujudan banyak aliran telah menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Menurut beliau, sekolah satu aliran sepatutnya dilaksanakan sebelum merdeka lagi seperti yang dicadangkan 48 tahun lalu oleh Allahyarham Aminuddin Baki yang menjadi Penasihat Pelajaran Negara.
Ainuddin menjelaskan, cadangan Aminuddin itu kerana beliau telah menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul di kemudian hari berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah yang berlainan.
"Jangkaan beliau itu betul dan kita lihat apa yang berlaku sekarang. Jika kita bertegas dari dulu dan semua kaum sanggup berkorban untuk belajar di satu sekolah mungkin soal permusuhan antara kaum tidak terjadi," katanya kepada Mingguan ketika dihubungi di sini hari ini.
Ainuddin mengulas pengakuan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, bahawa sistem pendidikan di negara ini tidak begitu berkesan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Musa berkata, sistem pendidikan pelbagai aliran yang wujud sekarang telah mengakibatkan ibu bapa murid memilih aliran mengikut kaum masing-masing.
Sebelum itu Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew menyebut sistem pendidikan di Malaysia menjurus kepada perkauman sehingga sukar bagi kerajaan mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.Mengulas lanjut Ainuddin berkata, ramai pemimpin politik sejak dulu mengetahui bahawa untuk memupuk perpaduan, ia haruslah dimulakan sejak dari 'rebung' lagi membabitkan murid sekolah rendah dalam acuan yang sama.
Bagaimanapun menurut beliau, yang mengecewakan ialah mereka sengaja menafikan kebaikan itu demi kepentingan politik sehingga lahirnya sekolah aliran Melayu, Cina dan Tamil.
"Malaysia sepatutnya mencontohi Hawaii yang hanya memperkenalkan satu aliran sekolah untuk semua penduduknya daripada pelbagai kaum."Di sana, jumlah kaumnya lebih banyak daripada kita. Ada orang Jepun, Afrika, India, Cina, Amerika dan pelbagai etnik kaum. Namun tak pernah kita dengar berlaku rusuhan kaum di sana sejak dulu.
"Inilah hasil pendidikan satu acuan yang disemai kepada kanak-kanak sejak kecil lagi," katanya.
Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO, Dr. Adham Baba, ketika mengulas isu tersebut berkata, kajian Pemuda mendapati ibu bapa kaum Cina dan India masih kurang yakin terhadap sekolah kebangsaan.
Menurutnya, mereka melihat sekolah kebangsaan kurang berkualiti kerana kurang memberi penekanan kepada mata pelajaran penting terutama Bahasa Inggeris dan Matematik.
Jelasnya, penolakan kaum Cina terhadap penubuhan Sekolah Wawasan juga adalah kerana kurangnya keyakinan terhadap sekolah tersebut, selain tidak mendapat penjelasan tepat.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), N. Siva Subramaniam pula berkata, sistem yang diguna pakai sekarang menyebabkan lahir ramai generasi muda yang tidak lagi mempunyai rasa cinta terhadap perpaduan, menghormati kaum lain.
"Saya berharap kementerian akan menubuhkan segera Jawatankuasa Khas Pendidikan untuk mengkaji serta mendapatkan maklum balas semua pihak tentang masalah yang berlaku.
"Jika tidak saya bimbang masalah lebih besar akan timbul kemudian hari,'' katanya.
Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, turut menyokong pandangan Musa sambil menganggap ia adalah ke arah memperkemaskan sistem pelajaran kebangsaan.
"Pandangan itu baik bagi memastikan perpaduan yang lebih kukuh antara masyarakat majmuk yang berteraskan bangsa Malaysia,'' katanya.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Dr. Abdul Rahman Daud menegaskan, Sekolah Wawasan adalah kaedah terbaik bagi memupuk perpaduan nasional dalam jangka panjang.
Selain itu katanya, Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula sukatan pelajaran yang digunakan sekarang dan mengubahnya jika langkah itu boleh membentuk perpaduan yang lebih erat.
Beliau juga menolak andaian bahawa sekolah kebangsaan gagal meyakinkan kaum Cina dan India untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu kerana kejayaannya terbukti.Dr. Abdul Rahman bagaimanapun berkata, cadangan mewujudkan hanya satu aliran memang nampak mudah dan menjurus kepada perpaduan kaum tetapi masyarakat perlu memahami bahawa sistem pendidikan di negara ini banyak dipengaruhi oleh sejarah, budaya bangsa dan kepentingan politik.
Seorang lagi tokoh pendidik, Datuk Dr. Ibrahim Barjunid pula berpendapat, pengakuan Musa itu mencerminkan ketelusannya walaupun banyak pihak mengakui sistem pendidikan di Malaysia adalah antara yang terbaik.
Katanya, memang ada kelemahan dalam sistem pendidikan negara, namun perubahan yang ingin dilakukan tidak boleh dibuat secara radikal dan tergesa-gesa.
Ini memandangkan isu pendidikan tempatan amat berkait rapat dengan soal perlembagaan, kebudayaan, ideologi dan politik.
"Kalau kita nak rombak juga sistem kita, maka kita kena rombak sekali masyarakat. Rombakan juga boleh berlaku jika ada perubahan ideologi politik.
"Bagaimanapun cara yang baik ialah rombakan dibuat secara mesra budaya, ideologi dan profesion pendidikan,'' katanya.
-Hanya satu aliran - Kerajaan didesak wujudkan sistem pendidikan ke arah perpaduan kaum-
Komen:
-mansaari-
Isu dan saranan 2001 berulang lagi pada penghujung 2008. Amat sinis tetapi menusuk. Di mana letaknya keberanian para pemimpin kita untuk kembali melihat hala tuju generasi kita dan negarabangsa akan datang? Siapa yang berani membuat refomasi ini? Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin, Hadi Awang, Lim Guan Eng? Jangan sehingga berulangnya 13 Mei baru kita bersedia untuk melihat kesilapan terhadap isu menegarabangsakan generasi kita.
Monday, December 1, 2008
Wednesday, November 26, 2008
Pendidikan Alam Sekitar 2
Kolam yang diisi dengan ikan koi sering menarik perhatian kerana warnanya yang pelbagai dan cantik. Sementara di kolam satu lagi juga menarik perhatian pelajar kerana ikan talapia sangat cepat membiak. Jumlah ikan yang bertambah secara berperingkat-peringkat menjadikan kolam talapia padat. Ini menyebabkan lalu lintas ikan-ikan di dalam kolam itu menjadi menarik. Jika diteliti ia seakan-akan sama dengan aktiviti kehidupan manusia yang menggunakan laluan yang sibuk di bandar.
Akhirnya ketika musim cuti sekolah semua kolam menjadi kosong. Nyatalah segala yang menarik itu rupa-rupanya menjadi minat kepada manusia untuk mendapatkannya secara percuma biarpun secara tidak halal.
Apabila sekolah dibuka ada pelajar yang menangis kerana ikan kesayangan mereka telah hilang dari kolam. Setelah diselidiki pelajar-pelajar ini adalah di antara petugas yang memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut. Dari peristiwa ini saya mendapat banyak keinsafan:
i. Sebahagian pelajar membuat tanggapan bahawa ikan-ikan itu tidak diberi makanan sepanjang cuti panjang persekolahan.
ii. Masih ada manusia yang lebih mementingkan kepuasan diri sendiri daripada berkongsi kepuasan dan kegembiraan secara bersama.
iii. Kasih sayang perlu dipupuk, kesedihan perlu dipujuk.
iv. Dalam kehidupan ada sesuatu yang berupaya dibeli tetapi tidak semua yang boleh dibeli dan dikuasai.
v. Kita menangis untuk segala yang kita sayangi dan sesudah yang kita sayangi itu tiada lagi.
Sunday, November 23, 2008
Babi Sungguh
Malang sekali, apabila ternak babi ditutup di Pulau Pinang yang rakyat keturunan Cina dan India menjadi mojoriti di negeri itu maka tak semena-mena Kedah Sejahtera tawar diri menjadi galang ganti. Selangor bangga untuk menjadi juara ladang ternah babi terbesar di Malaysia. Kita tentu tidak berupaya menghalang orang Cina dan India mentekedarah babi. Lantaklah. Yang kita musykil mengapa Kedah dan Selangor beria-ria untuk ambil alih?
Apakah segala yang dibuang, kita perlu ambil dan guna pakai? Benar, ladang babi yang bakal dibuka itu akan menggunakan teknologi moden. Benar. Benar. Logik. Munasabah belaka. Namun mengapa Pulau Pinang tidak memodenkan ladang ternak babinya yang sedia ada dengan teknologi terbaru dan terkini? Mengapa perlu tutup. Itu pun pemimpin Melayu Islam tidak berupaya membaca minda celakoi seperti itu.
Pulau Pinang boleh tambak laut atau cari pulau tidak berpenghuni dan bina ladang babi mesra alam berteknologi tinggi kerana dia mampu untuk menyediakan bekalan daging babi kepada rakyatnya yang gemar makan babi. Kedah tidak perlu kerana rakyat keturunan Cina dan India di Kedah hanya perlu tumpang sekaki hasil daripada ladang ternak di Pulau Pinang. Selangor pun boleh tumpang semangkok. Saya mewakili rakyat keturunan Melayu Islam melahirkan rasa malu kerana pemimpin Melayu Islam menjadi buta kayu hingga setuju merealisasikan ladang ternak babi di negeri majoriti Melayu.
Thursday, November 20, 2008
Pendidikan Alam Sekitar 1
Sembang-sembang kali ini saya ingin membawa isu pendidikan alam sekitar. Tidak mudah untuk menerapkan asuhan agar anak didik kita peka dengan alam sekitar. Mendidik untuk sentiasa jadi bersih sahaja pun tidak menjadi. Ada guru yang marah kerana didikan dan asuhannya tidak pernah diamal oleh murid. Kempen 'SAMPAH BUANG DALAM TONG SAMPAH' tidak berjaya 100%. Masih ada pelajar yang menyelitkan sampah di celah-celah pohon bunga. Pembalut dibuang ke longkang dan parit. Mengapa?
Satu hari saya masuk ke kelas dan bertanya kepada pelajar dan meminta mereka mengeluarkan kertas tulis dan pena. Saya minta mereka senaraikan apa yang mereka anggap sampah di sekitar sekolah. Apabila dianalisis, saya dan rakan-rakan terkejut kerana bagi pelajar, mereka keliru apa yang dikategorikan sebagai 'sampah'. Bagi pelajar; tisu, bekas minuman, surat khabar dan daun-daun bukan 'sampah'. Pada pemahaman mereka 'sampah' adalah sesuatu yang 'kotor'. busuk, dan menjijikkan. Jadi surat khabar, dedaunan, batu bata, rantingan, kertas comotan, bunga-bungaan yang berguguran, plastik bungkusan, kapur tulis, tong cat, peralatan terbuang, kerusi meja yang rosak adalah bukan sampah. Maka disebabkan pemahaman itu mereka tidak mempedulikan persekitaran yang dicemari dengan benda-benda tersebut. Lucu. Buatlah kajian maka akhirnya kita akan tahu betapa maklumat dan data itu perlu kepada kita untuk mengurus sumber manusia untuk tujuan mendidik.
Saturday, November 15, 2008
Tuesday, November 11, 2008
Caca Merba
j-QAF, sistem perjawatan Pendidikan, PPSMI, Sekolah satu sesi, PIPP, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Perjawatan Guru, Pendidikan Bertaraf Dunia, Pelaksaan Bajet 2008 dan 2009. Pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9, Subjek Sejarah di Sekolah Rendah, Ura-ura rombakan sistem peperiksaan dan lainnya memerlukan penglibatan warga pendidik. Kasihan mereka. Tanggapan bahawa warga pendidik diberi cuti panjang masih menjadi tanggapan kukuh masyarakat. Sedangkan hakikat sebenar mereka terpaksa menghabiskan waktu cuti penggal dengan penuh aktiviti disamping dipaksa berkursus.
Cuti guru disulami dengan program lawatan pelajar, Motivasi, perkhemahan, sukan, kokurikulum, perayaan, kelas tambahan, program keagamaan dan latihan amali untuk peperiksaan. Semuanya memerlukan penglibatan total warga guru. Ini belum lagi ditokok tambah dengan tugas mengawasi peperiksaan awam, peperiksaan jabatan, urus tadbir pengurusan sekolah (buku teks, disiplin, kaunseling, kantin, pemulihan, kurikulum, HEM, kokurikulum, data, penyelenggaraan, stok, keceriaan, dll), termasuk menjadi juruiring lawatan pemimpin kecil dan besar negeri atau negara. Meskipun bukan semua warga pendidikan terlibat namun rata-rata tidak sempat menikmati percutian mereka dengan kelegaan yang sejati.
Dalam senario yang diperkatakan di atas, mana satukah yang benar-benar telah terlaksana dengan berkesan dan berjaya? Tidak hairanlah jika ada pendidik yang baran dan bertindak di luar batas susila. Kantin sering keracunan. Kertas peperiksaan sering didakwa bocor. Program j-QAF kekurangan guru dan pelaksanaannya bercelaru. Agihan tugas guru agama dengan guru j-QAF sering kecoh. Waktu bertugas guru j-QAF terlalu panjang jika diambil kira waktu diluar jadual. Buku teks lambat dibekalkan. Disiplin merosot.
PM dan Kementerian Pelajaran patut duduk semeja dengan para pendidik untuk mendengar masalah di peringkat pelaksana. Laporan pegawai kadangkala lebih mirip kepada resam ubi yang dikatakan berisi serta subur serta segar bugar namun di peringkat pendidik bawahan lebih banyak resam besi kerana terlalu banyak karat yang perlu dikikis.
Kegagalan merealisasikan pendidikan di negara kita adalah kerana terlalu kerap memasukkan bahan sehingga kari menjadi dalca dan nasi menjadi bubur. Akhirnya jadi caca merba.
Saturday, November 8, 2008
Buruk Laku
Bilik guru dan kantin adalah tempat lepas geram. Banyak rahsia yang tidak menjadi rahsia lagi. Terbongkar. Jadi bualan dan jadi ejekan. Demi persahabatan banyaklah rahsia yang disimpan kejab. Soalnya kita seringkali mempamerkan diri kita untuk dibenci kerana kata-kata. Manusia normal biasanya menilai diri orang lain untuk dibandingkan dengan diri sendiri. Amat luar biasa jika kita seringkali menilai diri kita sentiasa lebih baik daripada rakan-rakan kita. Tanpa cacat cela. Selagi kita berjenama manusia maka selagi itulah kita sentiasa terdamping dengan kelemahan. Jadi mampukah kita membina kehidupan kita sendiri di pulau yang tidak mahu dikongsi? Renung-renungkanlah. - Cikgu Shariddin 1997Saya galak tulis haiku. Puisi Jepun yang padat tetapi rejamannya amat mendalam.
Untuk seorang guru.
Murai di bilik guru
Terkejut lipan bara
Kain dipakai koyak rabak
Singggah dan sembang-sembang di warung saya. Jumpa lagi. Selagi hayat masih ada rahsia yang tersimpan untuk dijadikan senjata sekadar membela diri. Saya tetap anak jantan.
Tuesday, November 4, 2008
Tanahairku
untuk anak-anakku: Syakiro, Lanzo, Fuzama dan Najiro
i
Hujan menangis
Tanah gunung lerai
Anak desa mengemis
ii
Balak nan sebatang
Jentolak meneresi bukit
Akar putus berlinangan Airmata
iii.
Gelap malam
Siang berjerubu
Hilang jalan untuk dituju
iv.
Angin nan kencang
Terselak buku catatan
Hanya dakwat-dakwat hitam
Sunday, November 2, 2008
Tentang Penghuni Rimba
Di sini pacat tidak tahu memilih status. Semua darah adalah rezekinya. Darah daripada semua bangsa dan semua jenis jantina. Yang berbeza hanya sudut yang dipilih untuk menyedut darah. Di kota yang memilih darah ialah doktor. Penjenayah. Paku. Pisau. Parang. Kapak. Sembilu. Pedang. Keris dan banyak. Terlalu banyak. Begitulah kenapa hidupan di rimba lebih bahagia. Aman damai. Lebih abadi.
Di rimba ini ini semuanya percuma. Air. Makanan. Jamong. Yang dibeli hanya pakaian dan mancis. Pisau dan golok. Di sini tiada perompak. Pencopek. Peragut. Rempit. Bohsia dan Bohjan. Tiada. Pelacur jauh sekali. Jika ada hanya manusia kota yang datang merogol bukit dan mencuri balak. Penghuni rimba tidak mungkin bertindak sekejam itu. Jangan risau jika saya dan rakan-rakan semakin kerap menjadi penghuni rimba dan jarang-jarang boleh dihubungi. Di Puncak Nawang tiada warong. Tanpa warong maka tiadalah omong-omong kosong.
Monday, October 27, 2008
Catatan Di Tengah Rimba
Di pondok kecilku ini saya berupaya melihat awan biru. Hujan yang menangis. Langit kelabu. Bulan yang tersenyum. Dan matahari yang malu. Di sini saya mencari sahabat sejati. Di sini saya menjumpai jujurnya alam anugerah Allah. Di sini saya tidak pernah ditipu. Alhamdulillah. Di sini saya amat merasai bahawa saya disayangi.
Wednesday, October 8, 2008
Gamitan Kenangan 2
Di warong ini pastinya cikgu ingin titipkan rasa bangga itu. Pertama, kerana masih ada anak didik yang sudi singgah dan membaca. Tentu sekali semuanya celik IT. Tahniah. Sukar untuk cikgu menitipkan kenangan khusus untuk kita kenangi bersama. Tetapi percayalah kita berkongsi pengalaman suka duka, kasih benci dan telah hidup berkongsi bumbung untuk belajar.
STAR memberikan kita ilmu, kasih sayang dan perjuangan. Salam sekeluarga daripada cikgu. Terima kasih.
Monday, October 6, 2008
Kedah Sejahtera
Sunday, October 5, 2008
Jagoh
Dalam banyak-banyak buku ada tiga buah buku yang tidak dibaca. Namakan buku-buku tu.
Majidah: Boleh jawab tidak ada duit. Tak boleh jawab denda RM15
Mansari: [Saya sudah tahu jawapannya kerana teka teki itu asal usulnya adalah teka-teki saya kepada anak-anak saya. Tetapi demi mengembalikan wangnya, saya pura-pura tak tahu jawapan]
Majidah: [Sibuk menyakat semua orang agar tidak membantu saya. Meskipun sudah 13 tahun usianya, namun aksinya masih keanak-anakkan]
Mansaari: Buku buruk. Buku Jepun. Buku Siam. Buku Cina. Buku Tamil.
Majidah: Salah. Salah. Salah. Salah. [Dia terkinja-kinja kesukaan]
Mansaari: Tidak tahu
Majidah: [Hulur RM15. Apabila RM15 berada di tangan, maka dengan bangganya dia memberi jawapan] Buku buluh, buku tebu dan buku sabun. Hahaha.. Pak Njang kalah!!
Majidah: [Terdiam] [Wang RM15 dia diamkan saja. Dia layak menang sebab jawapan saya salah]
Mansaari: [Demikian episod yang menceriakan suasana Hari Raya. Hanya orang dewasa yang tahu nilai untuk mewarnai wajah-wajah muram kehidupan]
Kikis Wang Raya
Teka teki.
Batang dipotong. Sarung digulung. Selepas masuk sarung, masuk biji, selepas tu masukkan air. Airnya berwarna putih tau! Batangnya keras, tetapi ototnya sedap. Apakah jawapannya cik Majidah?
Majidah: Hooi.... [lari ke dapur dengan membebel. Ibunya tersenyum] Kalau Jidah jawab Pak Njang bagi sepuluh ringgit.
Mansaari: Serba salah. Ok.
Majidah: Tu.... lah...... tu... lah.
mansaari: Tulah... tulah apa dianya?
Majidah : Aleee..., buat-buat tak faham.
Mansaari: Jawab.
Majidah : Senjata orang lelaki.
Mansaari: Huoiii. Otak kamu blue. Gelombang biru. Rosak.
Majidah : Betulkan? Kalau tak betul Pak Njang beri jawapan.
Mansaari :Bagi sepuluh ringgit.
Majidah: [Dengan yakin bahawa dia akan menang maka dihulurkannya wang kertas RM10]
mansaari: Lemang. [Majidah menjerit dan terus masuk bilik dan tidur]
Suka Duka Kehidupan
2.
Teka teki.
Apa jawapannya wahai Majidah.
Bulu bertemu bulu. Bila diselak nampak biji hitam. Di tepi-tepinya semua putih. Tetapi apabila ditenyeh (gosok) dia menjadi merah dan berair. Apa bendanya?
Majidah: Heeee Pak Njang pengotor. Cikgu tak boleh bercakap lucah macam tu. Majidah, malu nak jawab. heee...
Mansaari: Huwii.. Ini cikgulah. Ini teka teki. Jujur. Bukan lucah. Otak kamu itulah yang telah rosak.
Majidah : Hoh. Tak percaya. Heee pengotor. Kalau tak lucah Pak Njang beri jawapan.
Mansaari: Boleh. Satu ringgit. Sebab ini ilmu tau.
Majidah : Ok.
Mansaari: Mata.
Majidah: Sebab apa?
Mansaari: Ya lah, tengok mata, ada bulu mata bertemu, .................
Majidah : Ohhh..........
Mansaari: Ok. Minta seringgit.
3.
Namanya mudah. Majidah binti Kipli. Dia berkecil hati apabila rakan sekolah mengejek nama bapanya. Kipli. saya katakan 'Kipli' itu diambil sempena nama nabi Dzulkifli. Oleh kerana masa dahulu datuk Majidah tidak mempunyai ilmu dan tinggal di pendalaman, maka disebutkan sahaja 'Kipli'. Nama itu cantik dan unik. Kini dia bangga kerana dia satu-satunya yang mempunyai nama bapa yang unik.
4.
Rupa-rupanya hampir setahun lebih dia menyimpan luka perasaan di luar pengetahuan saya. Saya turut sedih bukan kerana dia anak saudara saya tetapi penghinaan yang dia terima amat mendalam dan memberi kesan dendam terhadap guru.
Kepada guru, beringatlah... kesan didikan sama ada baik atau buruk akan sentiasa berkekalan di hati pelajar. Sekali terpalit arang wajah bersih tercoreng jua.
Thursday, September 25, 2008
Salam Sejati Abadi
Salam Aidul Fitri. Sejahtera. Salah silap mohon ditirisi dengan maaf. Untuk bondaku Hajjah Asma Haji Abu Bakar. Terima kasih bonda kerana rela susui dan mendidik. Sekiranya sekecil manapun hatimu terguris, ampunilah. Bagaimana untuk tidak saling menumpahkan air mata ketika simpuh salam di syahdu takbir yang meresapi pagi Syawal ini. Saya tetap pasrah kerana kita telah berkongsi suka duka ini dengan nikmatNya. Halalkan segala pengorbananmu itu. Untuk Isteri. Terima kasih kerana sudi menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak. Untuk anak-anak, Mohd. Syakir, Mohd. Azhan, Mahfuzah dan Mohd. Najib. Muliakan diri dengan iman, takwa, hidup berbudaya, berilmu, berbudi dan berbakti.
Untuk semua sahabat sesama profesion di SMK Tunku Abdul Rahman Alor Star, SK Kuala Kedah, SK Dato Wan Mohd. Saman, SK Alor Besar, SK Sri Gunong, Jabatan Pelajaran Kedah, PPD Kota Star dan kenalan seperguruan, maaf atas salah silap. Tiada kain yang tidak ditenun dan tiada benang yang tidak terputus. Indahnya pakaian kerana dijahit.
Untuk para blogger, selamat berjuang dan terus menulis. Andai terkasar bahasa mohon bersulam budi, maaf dititipi.
Untuk guru-guruku. Halalkan ilmu. Terima kasih kerana sudi mendidik saya. Moga cikgu bahagia dan diganjari darjat di sisi Allah. Amin.
Kiranya nama tersalah sebut, pangkat tersalah letak, untaian tersalah karang, kata tersalah bahasa, kiriman tersalah alamat, kuih tersalah hidang, air tersalah cawan, pakai tersalah majlis, maka maaflah untuk setiap yang tersalah itu. Selamat Menyambut Nikmat Syawal.
Hajjah Halijah binti Haji Mohd. Ibrahim
Haji Mohd. Syakir bin Othman
Mohd. Azhan bin Othman
Mahfuzah binti Othman
Mohd. Najib bin Othman