Thursday, December 29, 2011

Nilai 10 sen Belanja Sekolah

Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sebebola ais kepal
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan semangkok bubur kacang
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sekeping sotong kering masak kacang
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan secawan ais serbat berbiji selasih
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sebiji onde-onde berintikan kacang

saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi guru

saya ke sekolah kerana hendak membeli ais kepal, bubur kacang, sotong kering masak merah, air serbat biji selasih atau sebiji onde-onde. Itu sahaja.

Saya suka nasi lemak ikan keli kering dibaluti dengan daun pisang layur.

Saya suka bergayut pada juntaian tali jejawi beraksi seperti tarzan setiap cuti hujung minggu.

Saya suka membina bot batang nipah dan berkubang sambil membaling ketulan lumpur sesama kawan.

Saya suka mengopek kulit tebu dengan gigi, memamah isian hingga berhampas atau memamah belahan kelapa manis hingga kemerahan bibir.

Saya tidak suka disebat oleh ayah kerana beranang dan bermain bola sepak. Hanya inilah satu-satunya habuan yang mesti saya terima disebabkan kededilan dan kenakalan tegar yang bersebati dalam diri.

Saya menjadi guru kerana ibu dan ayah saya tersangat bangga 'saya menjadi guru'. Saya bangga menjadi guru kerana saya sangat menyayangi ibu dan ayah saya. Saya tidak pernah menyesal ditakdirkan menjadi guru malah saya berterima kasih kerana diterima menjadi guru.

Ibu saya seorang guru yang sabar, penyayang dan sering menangis ketika saya dirotani.
Ayah saya seorang guru yang tegas, garang tetapi sering menangis berpanjangan ketika saya berjaya.

catitan kecil mengingati masa silam yang berlalu.

Saturday, December 24, 2011

Al Kesah PRU 13

Saya amat takut untuk menjadi pengundi pada PRU 13 kelak. Membaca kelaku kelayak para peminpin menjadikan saya amat majai. Saya yakin sebahagian paparan di maya pada itu adalah benar dan tidak mustahil pula ada diantarannya adalah yang tidak benar. Malah yang tidak benar menjadi wadah kegilaan penulis semata-mata untuk mengadu domba kepimpinan ikutannya.

Mengapa kita menjadi semakin huduh semata-mata kerana aliran politik. Huduh hujah. Huduh alasan. Huduh Bahasa. Huduh budaya. Huduh sahsiah. huduh hingga ke asuhan dan agama. Hilang kemuliaan dan kemurnian akhlak diri. Hilang kesatuan. Hilang maufakat. Hilang pedoman. PRU 13 akan hilanglah kuasa bangsaku.

Ada tempayan dipecahkan. ada gayung digantung. Ada payung tiada kelumbung. Ada lorong lurus dibengkokkan. Rumah pusaka dibedak tiang. Ada tanah dipecah habuan. Ada hutan ditebang. Ada sawah dipawah. Ada dusun dipangkas. Akhirnya ladang menjadi sekangkang. Airmata kekeringan. Bulan tidak jatuh ke riba. Maka melayu hilang di dunia. Hang Tuah melahirkan Hang Malang. Ke pondok usang, pulang menjadi Lebai Malang.

Tuesday, December 13, 2011

Suara Bicara.

menggulung hujah
hingga ke akhir kata
masihkah ada
secebis nota
buat meralat mainan bahasa
ketika angkuh menghentak meja
tiba-tiba hanya engkau berbicara
di bilik tanpa manusia
sebingkai cermin
mengimbas wajah tuamu
ada suara menyanyi di bilik mandi
menyindir hujahmu
dengan hanya seuntaian kata
aku malu
menyebut namamu
di negaraku.

Monday, October 3, 2011

Perjalanan Yang Direstui.

Lagi sekali
kembara ini
menjejak dan membawa
catatan-catatan dosa yang mohon dipadam
mohon diampun
ingin kugilap pintu hati yang pudar
dan kusam
ingin kubersihkan debu dosa yang terperap
ingin kurebahkah kekecilanku ini
ke pangkuan kebesaranMu
ALLAHU AKBAR.

Wednesday, September 28, 2011

ibu, ringgit dan Airmata.

Saya memang tegar. Payah untuk berair mata tetapi berhadapan dengan ibu kesayangan saya, ia menjadi situasi yang jauh berbeza. Hati amat mudah tersentuh. Entah mengapa sesudah solat Magrib Selasa 27 Oktober 20011 airmata bercucuran tanpa henti. Puas saya berusaha untuk meredakan namun ia gugur semahu-mahunya. Mata merah berkaca.

Ibu tahu bahawa saya akan kembara untuk sekali lagi ke Mekah. Dalam usia anugerah itu dia masih ceria menyokong hasrat saya itu. Mungkin bangga. Mungkin amat bersyukur kerana kembara saya ini adalah untuk melengkap laluan kepada siri-siri asuhan dan didiknya. Jernih harapan itu tepancar jelas. Sebaik sahaja selesai majlis bacaan Yassin saya menemui ibu untuk bersalaman. Untuk berterima kasih kerana hadir dan merestui anak nakalnya ini.

Ketika bertolak pulang ibu menghadiahi sebuah sampul bermeteri. Sampul misteri inilah yang mengocak dan menggongcang seluruh isi hati dan jiwa raga saya. Di dalam tersisip RM..... . Sesuatu yang diluar dari jangkaan saya. Tidak terfikir dan tidak dan tidak, tidak seterusnya. Jumlah itu amat kecil bagi mereka yang berada. Yang tidak pernah melalui perjalanan hidup yang payah. Diulik oleh kemiskinan. Perjalanan yang mengajar saya, kakak dan adik-adik untuk faham bahawa kehidupan ini adalah duka. Hirupan nafas yang penuh sedu. Hinggalah ditakdirkan rezeki itu melimpah untuk kami sekeluarga sehingga ke takah 'tahu berterima kasih'. Tahu bersyukur. Insaf. dan tidak diketegorikan dalam kelompok 8 hasnaf. Alhamdulillah.

Hadiah ini adalah beban kasih sayang yang terpaksa saya pikul. Walaupun saya menolak kerana naluri saya telah membaca dan berupaya menelah akan kandungan sampul tersebut. Ibu dengan tegas, jelas dan berterus terang mengungkapkan " ini yang mak nak bagi. Ambil". Kata-kata itulah yang hadir ketika saya membuka sampul tersebut sesusah selesai solat magrib. Inilah ringgit yang tidak sudi saya terima tetapi terpaksa yang ambil kerana kasih sayang. Ketika entri ini saya tulis, airmata saya masih juga berderai tanpa henti.

Wang ini akan saya simpan selagi hayat masih ada. Insyaallah. Nilai hadiah ini tak mungkin dapat saya bayar sampai bila-bila. Biarlah airmata ini terus berciciran untuk setiap kali saya menatapnya. Di situ ada dakapan kasih sayang yang tidak semua insan dapat mengecapinya. Terima kasih ibuku. Asma Haji Abu Bakar.

Saturday, August 13, 2011

Selamat Berbuka ii

Masuk zon senja merangkak tiba. Menu kami berdua penuh dengan syarat dan kerapian . Tapis berlapis-lapis. Semua menu berbuka dirancang padat padu. Untuk mengurangkan lemak. Kurangkan kabohaiderik. Kurangkan gula. Kurangkan garam. Kurangkan berasid. kurangkan kolestrol.Makan jangan lajak terlalu banyak. Minum air banyak-banyak. Demikianlah undang-undang yang tidak pernah saya patuhi.

Sunah. " berhenti makan sebelum kenyang". Pokok pangkalnya siapakah yang benar-benar faham dan patuh?. Soalan mudah ini amat mudah dianalisis tetapi amat payah diajukan. Ramai yang akan marah. Sebelum kenyang berhenti makan. Bolehkah?. Boroi. buncit. tambam. gemuk. bulat. berisi. Akankah semua perubahan fizikal ini terjadi jika kita mematuhi sunah. Ketika berbuka kita lanyak macam lori sampah kosong. Segalanya kita sumbat. Sesudah solat magrib kita menyulur dan berlengkar bagai sawa kekenyangan.

Akhirnya kita mencari mana-mana SPA untuk uruskan berat badan. Kita cari mana-mana pusat perubatan untuk uruskan kesihatan. Biaya untuk itu tidak masuk perkiraan. Cakap sahajalah berapa banyak. Wang boleh dicari. Tetapi jika ada peminta derma yang menadah tabung kita tiba-tiba kelabu mata. Tidak nampak. Tabung masjidpun cuma kedengaran wang yang berbunyi. Wang yang tidak berbunyi jarang-jarang. kadang-kadang. Lalu bagaimana ramadhan kita kali ini?. Ramadhan juga kian merangkak pergi. Kita kian merangkak mencari realiti dan hakikat diri. Sebenarnya kita belum lagi menjumpai diri kita. Kita tetap mencari bayang-bayang yang hilang ditirai malam. Usia kian terhakis tetapi masihkah lagi tidak kita temui penyuluh ke susur jalan pulang. Selamat berpuasa.




Saturday, August 6, 2011

Selamat berbuka

Menghadap makanan yang terhidang mengudang pelbagai nostalgia. Masa kanak-kanak yang berlalu. Masa mendidik anak-anak berpuasa. Melayan karenah anak-anak berbuka. Kini semuanya telah membesar dan menjadi perantau rezeki. Kembalilah kami mengadap hidangan berduaan. Sunyi. Sepi. Perbualan pun menjadi padat. Terlalu ringkas. Mungkin telah terlalu banyak jalinan kasih dan sayang yang terluah hingga menjadikan bual bicara menjadi banyak noktah. Selamat Berbuka.

Sunday, July 3, 2011

Hala

satu lorong
satu hala
satu perjalanan
ke satu perhentian
hanya satu

Wednesday, June 1, 2011

Budaya Kita.

Hari ini taukeh senyum sinis. Bukan kerana duit banyak tetapi kerana makan percuma . Kenduri bersusunan. Ubat kena telan. Daging. Daging. daging. bubur. mee sup. cendul. teh tarik. koteow. semuanya peruntun sihat. Hoh. aduh!

Kok nak bersembang kutuk mengutuk pun takkanlah di tempat kenduri. Pandang-pandanglah sikit. sebelah mata. Kita mana tau yang di sebelah meja kita tu adik beradik mangsa kutuk. Ini terkena pada pundak taukeh sendiri. Ada ka patut depa kutuk pupu poyang taukeh. 100% tak betul. Tak benar. Andaian. Tak cukup maklumat. Apalah salahnya...jika mereka lebih baik dilimpahi rezeki daripada kita maka bersyukurlah kerana kita dapat tumpang nikmat rezeki mereka. Alhamdulillah.

Kok iyapun nak lepas geram sabar-sabarlah. pilihlah tempat. Tempat kenduri tak sesuai untuk kecam mengecam hal-hal politik. Hal rebut harta. Hal pergaduhan keluarga.Masih banyak tajuk boleh diwabakkan. cerita nostalgia lebih sesuai. Cara kawin dulu dengan sekarang. pengantin dulu dengan pengatin sekarang. kenduri dulu dengan kenduri sekarang. pinang dulu dengan pinang sekarang. dj dulu dengan dj sekarang. khemah dulu dengan khemah sekarang. masakan dulu dengan masakan sekarang. Pakaian dulu dengan pakaian sekarang. banyak. banyak.

Pesan taukeh. Kita ni semakin kuat dengan mulut tetapi lesu dengan tenaga. HEhhhh hehhhh. khaaaaaaaaaaaaaaaa.aaaaaa.aaaaaaaaaaaaa. Warung tutup. Jom ke kenduri satu lagi....

Monday, April 25, 2011

Terasing

hanya sebuah kapal
di sebuah pulau
tanpa pelabuhan
sesarat muatan
tanpa penerima.

Wednesday, March 30, 2011

Imbauan

laluan takdir
tanpa papan tanda
tanpa lorong
kita temui
di landasan terbentang
dengan pasrah
sekalipun cucuran airmata
tanpa akhir
terhidang
dalam tawa suka
sekalipun tanpa siapsiaga
tiada punca
tiba-tiba menjadi ada
hanya DIA
di puncak sebuah kuasa.

Tuesday, February 22, 2011

Kehilangan

benang kehilangan jarum
ketika jarum patah pangkal
jarum kehilangan benang
ketika benang kusut
reput

Monday, January 17, 2011

Sekian Kali

dini malam
sekian kali
kubersimpuh
mencari titis airmata yang tumpah
kerana terlewat

sekian kali
mencanai lunggukan dosa
dengan doa dan airmata
kutemui
dini malam
yang syahdu pada rinduku

kiranya terlewat
untuk dapat kukikis
daki dosaku
sekian kali
di dini hari begini
baringlah aku di kamar ampunMU