Monday, October 26, 2009

Sesudah 13 Tahun

Wawooo.
13 tahun sudah berlalu. Sudah 13 tahun ayahanda meninggalkan kami sendirian. Secara kebetulan saya hanya sempat menyelongkar khasanah yang tersimpan rapi. Nyatalah ayahanda saya seorang yang sangat rapi. Teliti. Meskipun beliau hanyalah produk sekolah pondok namun sistem menyimpan maklumat dan data masih sistematik.

Saya menjumpai buku-buku, catatan-catatan , rekod dan resit. Hoh. Hebat. Ayahku hebat. Khazanah yang ditinggalkan tidak ternilai untuk dihayati. Terima kasih ayah. Al-Fatehah.


Monday, August 17, 2009

Merisik Khabar Bakal Menantu

Sengaja disisip untuk diabadikan sebagai catatan sejarah dan ingatan keluarga. Selamat Datang Seri. Kita saling menumpang dan menganyam kasih. Pancor, Pokok Sena Kedah 15 ogos 2009.

SERI

dipetik kuntuman wangi
disunting ke pundak
semerbak di persada

terpercik wangi kasturi
tercalit kasih
ikatan berbudi sebati

terbentang sumur di permatang
terhidang damai
doa tertambat di pohon berakah.

Tuesday, April 28, 2009

Di Pusara Ayahanda

Langkah akukah ini
longlai dan sepi
di pusara ayahanda
tercicir airmata
dengan doa selaluku
kolam rindu bertakung jua
bebunga pilu

Ayahanda
cempaka wangi ria
akan kukongsi sendiri
tiada lagi ceritamu
hanya kenangan
silamku di sisimu hanyut berlalu
kupaut kembali satu persatu.

Pagi sesunyi ini
seperti ditinggalkan kekasih
aku mencari suaramu
meraba pipi dan merenung senyuman
aku kehilangan sisi
tidak mungkin kurebahkan lagi diri ini
di ribamu
aku kehilangan lagi
ditinggalkan dalam sepi.

Ayahanda
masakan dapat aku melupai
riaku di sisimu
Ayahanda
masakan dapat aku memadamkan
Catatan ingatan itu.

Wednesday, March 25, 2009

Tahniah dan Syabas Intan Tersayang










langit biru
serlah mentari siang
Langkah pertama bermula

hening pagi
arakan bertingkah sorak
detik laju berlalu

gerimis ria merinjis
membasahi kilauan bintang
sebutir intan bersinar lagi

Alhamdulillah Ya Rabbi.

Wednesday, March 4, 2009

Kenangan 4

Sesekali bersendirian dipinggir sungai kecil di rumah tua kami, terlalu banyak kenangan yang bertandang. Terkenang sanak-saudara yang mendahului kerana panggilan Illahi. Arwah Ayah yang sering menunggu di pintu pada setiap Khamis. Matanya tentu terimbau ke jalan untuk meninjau kehadiran anak-anak dan cucu-cucu. Riuh rendah halaman rumah tua kami. Berkumpul dan makan beramai-ramai. Berjamaah dengan berimamkan Arwah Abang Omar. Bacaannya lunak dan memukau.

Hari ini saya cukup terasa. Semuanya semakin terasing. Zaman remaja hilang beransur-ansur. Hari tua merangkak tanpa nokhtah lagi. Tiada lagi udang galah. Pohon nipah. Ikan palaga. Belacak nipah. Baung. Keli jepun. Semuanya hilang beransur-ansur. Kerinduan kepada galak haruan menangkap umpan di musim hujan telah lenyap. Siolan wak-wak dan kedidi hilang tanpa disedari. Yang masih ada hanya sang bangau yang singgah bermusim. Suara ketitir dan tekukur milik ayah juga telah tiada. Tiada seorang pun anak-anak dan cucu-cucu yang berminat kepada suara burung. Tiada. Demikanlah kita dihukum kerana tidak menghargai khazanah alam dan warisan yang gagal dipelihara.

Untuk ibu saya, saya titipkan sajak ini.

Sebatang Kara
T.Alias Taib

yang ada di sini
hanyalah sebuah pondok
kecil dan terpencil
tanpa halaman
tersandar di kaki bukit
di antara kali sepi
dan tanah merekah

yang ada di sini
hanyalah seorang nenek
tua dan kerdil
tanpa suara
mencari cucunya yang hilang
di lingkaran mimpi yang berkabut

yang ada di sini
hanyalah sebuah pelita
yang tersangkut di paku
tanpa cahaya
hanyalah sebuku kemenyan
terbakar
di malam-malam hitam-sayu

1974

Al-fatehah untuk arwah Haji Shaari Awang Kecik, Kanda Ibrahim, Kanda Mariam ,Kanda Omar, Anakanda Asyaraf dan sahabat saya penyair T.Alias Taip.


Friday, February 20, 2009

Kerana Ikatan Susila

Kadangkala rasa kekongkongan kerana membuat laluan ke blog anak-anak. Kadangkala seakan tidak memberi kemerdekaan untuk mereka bebas menulis. Namun sebagai insan yang mewarisi watak pendidik tegar, saya semacam dirasuk oleh disiplin untuk menjadi pemantau yang mungkin tidak disenangi. Entahlah. Emosi lewat usia ini memagari minda saya untuk sentiasa dirasuk kacau supaya tidak terus melepas bebas anak-anak berkarya mengikut minta terbuka mereka. Di sudut kecil hati mereka mungkin tersisip rasa kongkongan itu. Gurisan-gurisan yang terpendam disimpan kukuh hingga tidak terluah, semata untuk tidak melukakan hati saya. Mungkin.

Terhentak di paksi kehidupan yang penuh kecelaruan budaya ini menjadikan saya penitip yang curiga. Apakah anak-anak saya berupaya kekal setia dengan budaya bangsa yang kukuh budi pekerti. Menjadi penulis yang santun dengan bahasa yang tersisip nilai mengikut laras Islam. Mendukung misi dan visi warga yang bertemadun dan terdidik. Patriotik. Berminda merdeka. Kritis dan kreatif. Kecindan yang tidak melampaui batas susila bangsa.

Tidak mudah untuk menjadi penyemak entri anak-anak. Peluang perlu diberi. Kebebasan bersuara juga harus dimerdekakan. Pemikiran dan tanggapan terhadap sesuatu isu kerap berbeda. Perbedaan itu dijarakkan oleh faktor usia, pendidikan, pengalaman dan sudut pandangan. Semuanya bukanlah menjadi pagar halangan. Rasukan ketakutan saya cuma kepada laras isu dan gaya bahasa yang dipilih. Sedih jika anak-anak berjaya dirasuahi dengan bahasa berbudaya rendah. Maki hamun menjadi mainan jari dan bibir. Menjadi celakalah perjalanan hidup kita jika anak-anak mendalangi penulis blog yang berbudaya rendah meskipun memiliki ilmu dan akal budi yang bertunjangkan suci murni.

Syukur kerana blog anak-anak saya masih di landasan. Meskipun kadangkala tersisip kecindan kepornoan namun ia sekadar gurau yang dibalami makna luhur. Kadangkala hanya minda yang keroh dan kotor sahaja yang membelokkan kita ke persimpangan dan bertembung secara songsang. Akhirnya, saya memadamkan igauan yang terperam ini dengan pesanan 'martabat diri jangan biarkan hingga ia dicuri dan dinodai oleh lidah dan minda sendiri'. Hidup kita diikat oleh tamadun bangsa dan leluhurnya Islam. Demi ikatan itulah kini kita terus berbakti . Terima kasih kerana menjadi anak abah dan mama yang baik dan terpuji. Berbudi dan berbakti. Berbahasa dan berbudaya.