Tuesday, December 2, 2008

Isu-Isu Akhir 2008

PENDIDIKAN
Mingguan Malaysia - 18 Mac 2001

Hanya satu aliran - kerajaan didesak wujudkan sistem pendidikan ke arah perpaduan kaum

KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Pendidikan digesa mewujudkan hanya satu aliran persekolahan dalam sistem pendidikan negara bagi meletakkan landasan yang lebih kukuh ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ini memandangkan kewujudan banyak aliran pada masa ini telah terbukti tidak membantu mewujudkan hubungan harmonis antara mereka.

Malah, pergaduhan antara penduduk keturunan Melayu dan India di beberapa kampung di Jalan Klang Lama, Selangor, membuktikan bahawa ada kalangan rakyat masih tebal dengan sentimen perkauman.

Tokoh pendidik, Tan Sri Ainuddin Wahid berkata, kewujudan banyak aliran telah menyebabkan tidak ada acuan khusus yang boleh digunakan untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Menurut beliau, sekolah satu aliran sepatutnya dilaksanakan sebelum merdeka lagi seperti yang dicadangkan 48 tahun lalu oleh Allahyarham Aminuddin Baki yang menjadi Penasihat Pelajaran Negara.

Ainuddin menjelaskan, cadangan Aminuddin itu kerana beliau telah menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul di kemudian hari berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah yang berlainan.

"Jangkaan beliau itu betul dan kita lihat apa yang berlaku sekarang. Jika kita bertegas dari dulu dan semua kaum sanggup berkorban untuk belajar di satu sekolah mungkin soal permusuhan antara kaum tidak terjadi," katanya kepada Mingguan ketika dihubungi di sini hari ini.

Ainuddin mengulas pengakuan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, bahawa sistem pendidikan di negara ini tidak begitu berkesan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Musa berkata, sistem pendidikan pelbagai aliran yang wujud sekarang telah mengakibatkan ibu bapa murid memilih aliran mengikut kaum masing-masing.

Sebelum itu Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew menyebut sistem pendidikan di Malaysia menjurus kepada perkauman sehingga sukar bagi kerajaan mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

Mengulas lanjut Ainuddin berkata, ramai pemimpin politik sejak dulu mengetahui bahawa untuk memupuk perpaduan, ia haruslah dimulakan sejak dari 'rebung' lagi membabitkan murid sekolah rendah dalam acuan yang sama.

Bagaimanapun menurut beliau, yang mengecewakan ialah mereka sengaja menafikan kebaikan itu demi kepentingan politik sehingga lahirnya sekolah aliran Melayu, Cina dan Tamil.

"Malaysia sepatutnya mencontohi Hawaii yang hanya memperkenalkan satu aliran sekolah untuk semua penduduknya daripada pelbagai kaum.

"Di sana, jumlah kaumnya lebih banyak daripada kita. Ada orang Jepun, Afrika, India, Cina, Amerika dan pelbagai etnik kaum. Namun tak pernah kita dengar berlaku rusuhan kaum di sana sejak dulu.

"Inilah hasil pendidikan satu acuan yang disemai kepada kanak-kanak sejak kecil lagi," katanya.

Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO, Dr. Adham Baba, ketika mengulas isu tersebut berkata, kajian Pemuda mendapati ibu bapa kaum Cina dan India masih kurang yakin terhadap sekolah kebangsaan.

Menurutnya, mereka melihat sekolah kebangsaan kurang berkualiti kerana kurang memberi penekanan kepada mata pelajaran penting terutama Bahasa Inggeris dan Matematik.

Jelasnya, penolakan kaum Cina terhadap penubuhan Sekolah Wawasan juga adalah kerana kurangnya keyakinan terhadap sekolah tersebut, selain tidak mendapat penjelasan tepat.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), N. Siva Subramaniam pula berkata, sistem yang diguna pakai sekarang menyebabkan lahir ramai generasi muda yang tidak lagi mempunyai rasa cinta terhadap perpaduan, menghormati kaum lain.

"Saya berharap kementerian akan menubuhkan segera Jawatankuasa Khas Pendidikan untuk mengkaji serta mendapatkan maklum balas semua pihak tentang masalah yang berlaku.

"Jika tidak saya bimbang masalah lebih besar akan timbul kemudian hari,'' katanya.

Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, turut menyokong pandangan Musa sambil menganggap ia adalah ke arah memperkemaskan sistem pelajaran kebangsaan.

"Pandangan itu baik bagi memastikan perpaduan yang lebih kukuh antara masyarakat majmuk yang berteraskan bangsa Malaysia,'' katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Dr. Abdul Rahman Daud menegaskan, Sekolah Wawasan adalah kaedah terbaik bagi memupuk perpaduan nasional dalam jangka panjang.

Selain itu katanya, Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula sukatan pelajaran yang digunakan sekarang dan mengubahnya jika langkah itu boleh membentuk perpaduan yang lebih erat.

Beliau juga menolak andaian bahawa sekolah kebangsaan gagal meyakinkan kaum Cina dan India untuk menghantar anak mereka ke sekolah itu kerana kejayaannya terbukti.

Dr. Abdul Rahman bagaimanapun berkata, cadangan mewujudkan hanya satu aliran memang nampak mudah dan menjurus kepada perpaduan kaum tetapi masyarakat perlu memahami bahawa sistem pendidikan di negara ini banyak dipengaruhi oleh sejarah, budaya bangsa dan kepentingan politik.

Seorang lagi tokoh pendidik, Datuk Dr. Ibrahim Barjunid pula berpendapat, pengakuan Musa itu mencerminkan ketelusannya walaupun banyak pihak mengakui sistem pendidikan di Malaysia adalah antara yang terbaik.

Katanya, memang ada kelemahan dalam sistem pendidikan negara, namun perubahan yang ingin dilakukan tidak boleh dibuat secara radikal dan tergesa-gesa.

Ini memandangkan isu pendidikan tempatan amat berkait rapat dengan soal perlembagaan, kebudayaan, ideologi dan politik.

"Kalau kita nak rombak juga sistem kita, maka kita kena rombak sekali masyarakat. Rombakan juga boleh berlaku jika ada perubahan ideologi politik.

"Bagaimanapun cara yang baik ialah rombakan dibuat secara mesra budaya, ideologi dan profesion pendidikan,'' katanya.

Petikan:
-Hanya satu aliran - Kerajaan didesak wujudkan sistem pendidikan ke arah perpaduan kaum-


Komen:
-mansaari-

Isu dan saranan 2001 berulang lagi pada penghujung 2008. Amat sinis tetapi menusuk. Di mana letaknya keberanian para pemimpin kita untuk kembali melihat hala tuju generasi kita dan negarabangsa akan datang? Siapa yang berani membuat refomasi ini? Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin, Hadi Awang, Lim Guan Eng? Jangan sehingga berulangnya 13 Mei baru kita bersedia untuk melihat kesilapan terhadap isu menegarabangsakan generasi kita.

2 comments:

Awang Kata said...

Usahlah kita persoalkan lagi soal penguasaan tiga bahasa kalau penguasaan satu bahasa pun kita masih tergagap-gagap dan terkial-kial. Bukan tidak perlu tetapi berikan masa yang sesuai.

Usahlah kita persoalkan globalisasi kalau bangsa sendiri pun masih tidak terurus; soal bahasanya, soal pendidikannya, soal perpaduannya, dan soal perundangannya.

Belum merangkak dah nak melompat. Belum khatam makna ketuanan Melayu dah nak cerita soal ketuanan Melayu. Relevankah begitu.

ManSaari said...

Saudara Awang.
Saya akur. Walaupun kelambu siap dipasang namun kita masih fobia kepada nyamuk. Di luar kelambu, kita racuni nyamuk namun sebenarnya kita sedang meracuni diri kita sendiri.