Monday, September 20, 2010

Kumasuki Hari-HariMu

kumasuki hari-hariMu
mencari
deru yang meresap
mengikis timbunan dosa
yang melambak

kumasuki hari-hariMu
dengan gementar
menyerah butir-butir terkecil
yang mampu kukumpul
untuk dibawa
bersama janji RamadhanMu

kumasuki hari-hariMu
dengan teraba-raba
mengutip
segala murah pemberian
yang kutemui di segala penjuru
yang tidak terungkap

kumasuki hari-hariMu
dengan rasa malu
mengutip kerahmatan di SyawalMu.

Mencari

Kerapkali mengalir
laju dalam lesu malam
kutemui bulan sunyi
bintang berkedip berganti
hingga aku terus mencari
penghujung tanjung dosa
di kamar tanpa jendela

Friday, August 27, 2010

Hujan Senja.

Setiap senja itu
menanti dan menanti
burung tidak kembali lagi
hanya hujan yang turun
silih berganti

Tanpa kicau
bagai kehilangan siang
yang terbang
tidak lagi melayang pulang
usangnya sarang di dini malam

Hujanpun mencurah
setiap senjaku
Ramadhan ini
aku mencari diriku
menitip perjalanan redha.

pumpong
17 ramadhan

Wednesday, August 18, 2010

Untuk Sekali Lagi.

Ramadhan kali ini
kuhitung saudara-saudaraku yang tiada
untuk ke sekian kali
kutanya giliran
untuk Ramadhan sekali lagi.

kiranya dosa itu masih tertulis
kusimpuhi airmata untuk membasuh
kiranya hutang itu tertunggak
ingin kubayar pada ramadhan ini
berikan aku airmata itu sekali lagi

Jika danau rinduku ini lesu
ingin kucedok habuan dari ramadhanMu
dewi malam sunyi sepi menyendiri
aku menyanyi untukmu Ramadhan
Berikan limpahanMu sekali lagi
sekecil-kecil yang bernama bakti
hanya untukMU
Kusujud kumohon kerahmatan.

Pumpung
6 Ramadhan.

Tuesday, June 29, 2010

Layar Kenangan

Saya amat bersyukur kerana dikurniakan kakak dan adik-adik masih kekal seperti dahulu. Tutur dan bualan mereka tetap sama. Lunak dan sopan. Penuh hormat. Payah untuk mencari suara-suara yang meninggi. Sindir menyindir. Amarah. Terkilan dengan situasi apa sekalipun mereka tetap menjaga budaya berbicara sesama keluarga dengan sopan santun. Demikianlah tertibnya asuhan oleh kedua ibu bapa kami. Biarpun tanpa pendidikan tinggi namun ayah dan ibu amat berjaya menyemai kasih sayang antara anak-anak. Kasih sayang itu abadi sehingga kini. Harga kasih sayang ini jauh lebih bahagia dari segalanya.

Layar kenangan ini semakin mengimbas dan mengimbau. Rasa takut akan kegagalan mendidik anak-anak menghentui perjalanan hidup yang semakin dikarau. Doa dan harapan menjadi igauan minda sepanjang siang dan sepanjang malam. Rasukan dan resapan kesongsangan gaya hidup telah mencanai budaya baru yang amat menakutkan. Kini segalanya ada. Meresap. Mengalir dan merebak. Halus dan lunak. Tanpa kita sedari gaya hidup anak-anak dipintal dan dibelit hingga sukar diurai agar kembali ke akar umbi budaya bangsa. Saya berdoa agar airmata tidak menitis kerana dituduh gagal mendidik anak-anak saya. Kepada mereka terpikul tanggungjawab itu untuk sentiasa menjaga nama baik diri, ibu bapa, keluarga dan keturunan.

Friday, June 18, 2010

Kenangan 7


Sesekali elok kita mengimbau kenangan. Santai bersama keluarga.

Tuesday, June 1, 2010

Jumpa Lagi

Alif baru darjah 2. Tinggal di Semanggul. Entah daripada sumber dapatan mana saya kurang arif, tetapi ssetiap kali bertemu Alif akan mengemukakan teka teki dengan penuh ceria. Piawaian teka tekinya tidak perlu diambil kira, yang penting emosi seorang kanak-kanak yang tidak menyembunyikan apa-apa. Tanpa sindir. Tanpa hasad. Tanpa duka nestapa. Dia mempamerkan dunia kanak-kanak yang tidak mengerti kesedihan. Kegembiraannya dirayakan seada-ada mungkin.

Alif : Pak Ndak, Namakan binatang paling gagah di dunia?
MS : saya sebut segala jenis nama binatang yang terlintas di minda saya.
Alif : salah...salah. salah. salah.......dan salah. (Alif melompat keriangan) Pak Ndak tak tau ya? binatang tu kecil sahaja.....
MS : semut, anai-anai, kuman, lipas, cengkerek. lipan. belalang.
Alif : Terkinja-kinja. Binatang ni......tahinya ada dua warna.
MS : Saya agah dengan bermacam jawapan. burung. monyet. udang. ikan. harimau. ...
Alif : Aleeh, senang saja Pak Ndak. CICAK. kan dia selalu tahan siling dan dinding dengan tangan dia. ......dia gelak semau-maunya. Kami turut ketawa bukan kerana jawapannya itu tetapi kerana aksi dan gelagatnya yang sangat kecindan.

catatan:
Sekalipun kita tahu jawapan tetapi berilah ruang dan peluang untuk si kecil merasai kemenangan, kehebatan, dan kebanggaan.
Kita lebih gembira jika mereka gembira.

Monday, May 17, 2010

Kenangan 6.


Hadiah daripada PIBG SK Sri Gunong 2007.

Saturday, May 8, 2010

Ibu.

Jika masih upaya kutimbus
kubang dan lompang
izinkan kuisi
cuma sisa yang sedikit ini
menjadi longgokan kenangan

Jika masih upaya kutanak
nasi dari segenggam beras
izinkan kuhidang
untuk ibuku
biarlah dia dapat merenungku
ke akhir kalinya.

Jika masih upaya kusuap
setiap kali laparnya
biarlah kuhulurkan jariku yang terketar
ke bibirnya
asalkan dia tersenyum lebar
sehingga menghalalkan susunya
dengan redho dan puas.

Thursday, April 29, 2010

Kem Waja Diri


Kem Waja Diri Sekolah Kebangsaan Sri Gunong 2010

Hadir untuk merasmikan penutupan Kem Waja Diri Pelajar di Pusat Kokurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia, Kem Singkir. Kedah Darul Aman. Pesanan untuk para pelajar agar latihan dan pengalaman di Kem ini akan dijadikan amalan waja diri dalam memperkasakan watak bagi menghadapi cabaran hidup.

Tuesday, March 23, 2010

Tetamu Senja

Menikmati senja sesudah 59 merangkak
segalanya semakin samar dan kabur




Menitip perjalanan hidup dengan meniti jambatan perhubungan yang berbaki.



Berlabuh untuk kemudiannya meneruskan ke pulau hentian


Menapak tebing dan berpijak daratan

Monday, March 22, 2010

Tuesday, March 9, 2010

Bila Hujan Turun

Kiranya lebat hujan itu adalah airmata
Bagaimana akan kau hitung untuk kau takunginya
Kiranya kilau kilat diretakkan oleh dentuman
Bagaimana akan kau sambar untuk menyuluh darah lukanya
Kiranya banjir melimpahi sebak dada yang tersula
Bagaimana akan kau tambak menjadi benteng rianya
Kiranya sungai mengalir longlai merendamkan duka
Bagaimana akan kau ampangi laluan deritanya.

Friday, February 12, 2010

Menginsafi Kematian

sepohon kelapa
tanpa pelepah dan daun
terpacak di gigi pantai
sudah bertahun menanti
rebah dan tersungkur
biarpun semuanya tahu
akan kematinya
namun masih dibiarkan
tanpa kebumi

masih ramai
tidak mahu mengerti
episod kematian ini
sepohon kelapa
yang tegap berdiri
menanti
jutaan pengunjung dan pelancung
duduk dan menginsafi
kematiannya

Langkawi
28.12.09

Thursday, February 11, 2010

Rindu Bonda

Kubaringkan gangguan ingatan
ke dadamu
kuhulur gumpalan rinduku
ke bibirmu
kusangkut bayangan kenangan
ke pundakmu
kupungut butiran budimu
ke jantungku
kukumpul setiap suapanmu
ke jariku

bonda
tidak mungkin upaya kuagihkan
langkah lesuku
untuk kujaringi lelah keringatmu
biarpun matahari melabuh ke hujung laut
dan ombak menghulur salammu
akan kupungut pasir pantai itu
ketika kau pijak untuk berlari
meredah sepi

bonda
redoi susumu yang kuteguk
kiranya tidak terpungut gurisan dukamu
dan tidak tertafsir makna tersisip
ampunilah
aku terlalu kecil dan lara
melangkah mencari huraian kalbu
kiranya hingga terlupa suara rindumu

bonda
aku berbaring di sisimu
rindu.

Catatan Kenangan VI

Terlewat sudah
Wahai dewi kunang-kunang
Untuk kau singgah
Ketika senja semakin merangkak
Telah kupilih rambulan
Yang terang
Di sisipan kerdip bintang

Miskipun kau berkerdip di rambutku
Lalu terbang menghilang
Aku sanya perindu sayu
Menunggu di tubir dedaun
Yang kian berguguran

Akhirnya sayap masa berlalu
Dan waktu menghukum
Aku dihenyak ke dasar kali
Menghirup hanyirnya lelumpur

Pagi ini
Duhai dewi kunang-kunang
Aku kumpulkan segala kenangan
Di perdu malam
Ketika kau terbang menghilang

Wednesday, January 20, 2010

Kunang-kunang

Telah terlewat
Wahai dewi kunang-kunang
Untuk kau singgah
Ketika senja semakin merangkak
Aku memilih rambulan
Yang ditindih hitam awan

Kau berkedip di rambutku
Lalu terbang menghilang
Aku menjadi perindu sayu
Menunggu

Akhirnya sayap masa berlalu
Dan waktu menghukum ketuaan usia
Aku dihenyak ke dasar kolam
Menghirup lelumpur dewasa

Pagi ini
Duhai dewi kunang-kunang
Aku kembali kumpulkan kenangan
Dalam kerdipan suram
Hingga seperjalanan malam.


Teratak Kasih
20 Jan 2010