Saya amat bersyukur kerana dikurniakan kakak dan adik-adik masih kekal seperti dahulu. Tutur dan bualan mereka tetap sama. Lunak dan sopan. Penuh hormat. Payah untuk mencari suara-suara yang meninggi. Sindir menyindir. Amarah. Terkilan dengan situasi apa sekalipun mereka tetap menjaga budaya berbicara sesama keluarga dengan sopan santun. Demikianlah tertibnya asuhan oleh kedua ibu bapa kami. Biarpun tanpa pendidikan tinggi namun ayah dan ibu amat berjaya menyemai kasih sayang antara anak-anak. Kasih sayang itu abadi sehingga kini. Harga kasih sayang ini jauh lebih bahagia dari segalanya.
Layar kenangan ini semakin mengimbas dan mengimbau. Rasa takut akan kegagalan mendidik anak-anak menghentui perjalanan hidup yang semakin dikarau. Doa dan harapan menjadi igauan minda sepanjang siang dan sepanjang malam. Rasukan dan resapan kesongsangan gaya hidup telah mencanai budaya baru yang amat menakutkan. Kini segalanya ada. Meresap. Mengalir dan merebak. Halus dan lunak. Tanpa kita sedari gaya hidup anak-anak dipintal dan dibelit hingga sukar diurai agar kembali ke akar umbi budaya bangsa. Saya berdoa agar airmata tidak menitis kerana dituduh gagal mendidik anak-anak saya. Kepada mereka terpikul tanggungjawab itu untuk sentiasa menjaga nama baik diri, ibu bapa, keluarga dan keturunan.
No comments:
Post a Comment