Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sebebola ais kepal
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan semangkok bubur kacang
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sekeping sotong kering masak kacang
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan secawan ais serbat berbiji selasih
Berikan saya sekadar 5 sen untuk saya belikan sebiji onde-onde berintikan kacang
saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi guru
saya ke sekolah kerana hendak membeli ais kepal, bubur kacang, sotong kering masak merah, air serbat biji selasih atau sebiji onde-onde. Itu sahaja.
Saya suka nasi lemak ikan keli kering dibaluti dengan daun pisang layur.
Saya suka bergayut pada juntaian tali jejawi beraksi seperti tarzan setiap cuti hujung minggu.
Saya suka membina bot batang nipah dan berkubang sambil membaling ketulan lumpur sesama kawan.
Saya suka mengopek kulit tebu dengan gigi, memamah isian hingga berhampas atau memamah belahan kelapa manis hingga kemerahan bibir.
Saya tidak suka disebat oleh ayah kerana beranang dan bermain bola sepak. Hanya inilah satu-satunya habuan yang mesti saya terima disebabkan kededilan dan kenakalan tegar yang bersebati dalam diri.
Saya menjadi guru kerana ibu dan ayah saya tersangat bangga 'saya menjadi guru'. Saya bangga menjadi guru kerana saya sangat menyayangi ibu dan ayah saya. Saya tidak pernah menyesal ditakdirkan menjadi guru malah saya berterima kasih kerana diterima menjadi guru.
Ibu saya seorang guru yang sabar, penyayang dan sering menangis ketika saya dirotani.
Ayah saya seorang guru yang tegas, garang tetapi sering menangis berpanjangan ketika saya berjaya.
catitan kecil mengingati masa silam yang berlalu.
No comments:
Post a Comment