Monday, October 27, 2008

Catatan Di Tengah Rimba

Di puncak bukit bukau Caruk Tok Nawang ini ada kejujuran yang dicari. Hening. Di sini tiada sembang politik. Di sini hanya ada kicau unggas. Bunyi deruan jeram. Harum bunga. Segar durian, cempedak, manggis, rambutan dan petai menjadi aku lupa dunia yang bercelaru dan ragam Melayuku yang meradak bersengketa.

Di pondok kecilku ini saya berupaya melihat awan biru. Hujan yang menangis. Langit kelabu. Bulan yang tersenyum. Dan matahari yang malu. Di sini saya mencari sahabat sejati. Di sini saya menjumpai jujurnya alam anugerah Allah. Di sini saya tidak pernah ditipu. Alhamdulillah. Di sini saya amat merasai bahawa saya disayangi.

Wednesday, October 8, 2008

Gamitan Kenangan 2

Malik, Suzana,Haslimi, Azhar, Di Mamak, Hardi, Adi Syaputra dan murid cikgu yang lain-lainnya. Maaf. Jarak waktu, kadang-kadang mengkikis ingatan cikgu terhadap nama kamu semua. 18 tahun cikgu di STAR adalah laluan pengalaman yang cikgu seret dengan penuh pengalaman dan ingatan. Zaman remaja cikgu langsai secara beransur-ansur di STAR. Cikgu menjadi dewasa di STAR. STAR mengajar cikgu untuk menjadi cikgu sebenar. STAR mendidik cikgu menjadi Melayu. STAR juga melonggokkan dulang ilmu ke'guru'an yang memasakkan erti perjuangan anak bangsa. Mengenang kejayaan murid menjadikan kebanggaan yang tidak tertulis. Bangga sekali biarpun khabar itu cikgu peroleh dari jumpaan di jalanan hidup.

Di warong ini pastinya cikgu ingin titipkan rasa bangga itu. Pertama, kerana masih ada anak didik yang sudi singgah dan membaca. Tentu sekali semuanya celik IT. Tahniah. Sukar untuk cikgu menitipkan kenangan khusus untuk kita kenangi bersama. Tetapi percayalah kita berkongsi pengalaman suka duka, kasih benci dan telah hidup berkongsi bumbung untuk belajar.

STAR memberikan kita ilmu, kasih sayang dan perjuangan. Salam sekeluarga daripada cikgu. Terima kasih.

Monday, October 6, 2008

Kedah Sejahtera

Depa gaduh pasai agih rumah siap kepada Bumiputera mengikut kuota dari 30% kepada 50 %. Zbzack sokong. Saya sudah jangka. Tapi cakap-cakap di warong saya semuanya tidak setuju. Depa bertengkar hingga naik urat leher. Mana boleh.
Din Tokmat:
Mana boleh. Depa ada berapa ekor. Depa patut dapat 30% sahaja. Kita kena ikut peratus penduduk Kedah. Kalau Melayu 70% maka kita berhak dapat 70%. Katakanlah, depa ada 30% maka hak depa 30%. Kita Melayu ada 70% kita ada hak dapat 70% lah. Rumah dibuat untuk rakyat. Yang nak bagi kat depa 50% pasai apa? Takkan seorang rakyat nak duduk dua tiga buah rumah. Nak buat apa. Logikkan?
Cu Pasembor:
Aku sokong Pas. Apa Tok Ustat Azizan buat aku sokong. Aku sokong hang Din Tokmat. Pas lebih baik dari Umno. 50% tu pun dah elok. Kita jangan haloba. Tapi kalau ikut macam hang kata tentu lebih elok.
Mansaari:
Cup! Din! Hampa kena pejuang peniaga roda tiga. Mana sesuai meniaga roda tiga di bandar raya. Umno takpa la. Depa dok buat benda lain kat hotel-hotel tu. Juta-juta. Hampa. kurang-kurang pun ada gerai kemas macam warong aku ini.
Liborai:
Mek Doyah, teh tarik satu.
Mek Doyah:
Amboi Li, hang dok tang tu nanti depa sembuq, hang tu Umno.
Liboroi:
Dak. Aku lari ikut Dr Mahadet dah.
Mansaari:
Li, hang tak tanding Timbalan Presiden ka?
Cu Pasembor:
Hahahahaha......... Negara sejah teeeeraa. No, no, no. Kedah Sejahtera. Hidup Pas!
Mansaari:
Sembang lama, roti Pak Lah baru sorang sebiji. Minum air masak. Ok. Aku tutup warong. Dah asar. Jom ke masjid.

Sunday, October 5, 2008

Jagoh

Bangun awal pagi dia bersolat Subuh. Sepanjang pagi, Majidah mendampingi semua anak-anak saya. Dari risikan, saya mendapat tahu bahawa dia ingin mendapat kembali wangnya yang hilang. Akhirnya dia mengemukakan teka teki.

Dalam banyak-banyak buku ada tiga buah buku yang tidak dibaca. Namakan buku-buku tu.

Majidah: Boleh jawab tidak ada duit. Tak boleh jawab denda RM15
Mansari: [Saya sudah tahu jawapannya kerana teka teki itu asal usulnya adalah teka-teki saya kepada anak-anak saya. Tetapi demi mengembalikan wangnya, saya pura-pura tak tahu jawapan]
Majidah: [Sibuk menyakat semua orang agar tidak membantu saya. Meskipun sudah 13 tahun usianya, namun aksinya masih keanak-anakkan]
Mansaari: Buku buruk. Buku Jepun. Buku Siam. Buku Cina. Buku Tamil.
Majidah: Salah. Salah. Salah. Salah. [Dia terkinja-kinja kesukaan]
Mansaari: Tidak tahu
Majidah: [Hulur RM15. Apabila RM15 berada di tangan, maka dengan bangganya dia memberi jawapan] Buku buluh, buku tebu dan buku sabun. Hahaha.. Pak Njang kalah!!
Najib: Piirahhh. Teka-teki hang tu teka teki Pak Njang. Hang tau dak?
Majidah: [Terdiam] [Wang RM15 dia diamkan saja. Dia layak menang sebab jawapan saya salah]
Mansaari: [Demikian episod yang menceriakan suasana Hari Raya. Hanya orang dewasa yang tahu nilai untuk mewarnai wajah-wajah muram kehidupan]

Kikis Wang Raya

Majidah rugi lagi sepuluh ringgit.

Teka teki.

Batang dipotong. Sarung digulung. Selepas masuk sarung, masuk biji, selepas tu masukkan air. Airnya berwarna putih tau! Batangnya keras, tetapi ototnya sedap. Apakah jawapannya cik Majidah?

Majidah: Hooi.... [lari ke dapur dengan membebel. Ibunya tersenyum] Kalau Jidah jawab Pak Njang bagi sepuluh ringgit.
Mansaari: Serba salah. Ok.
Majidah: Tu.... lah...... tu... lah.
mansaari: Tulah... tulah apa dianya?
Majidah : Aleee..., buat-buat tak faham.
Mansaari: Jawab.
Majidah : Senjata orang lelaki.
Mansaari: Huoiii. Otak kamu blue. Gelombang biru. Rosak.
Majidah : Betulkan? Kalau tak betul Pak Njang beri jawapan.
Mansaari :Bagi sepuluh ringgit.
Majidah: [Dengan yakin bahawa dia akan menang maka dihulurkannya wang kertas RM10]
mansaari: Lemang. [Majidah menjerit dan terus masuk bilik dan tidur]

Suka Duka Kehidupan

Hari Raya ini Majidah, anak saudara saya dari salasilah sebelah isteri datang berkunjung dan bermalam. Banyak suka duka yang membayangi kehidupannya sebagai anak yatim didedahkan. Suka duka itu saya kongsi bersama walaupun di kalangan anak-anak saudara saya digeruni kerana sering berbahasa, herdik dan menyoal perihal yang berasaskan kehidupan beragama dan bersusila. Soal pelajaran, soal solat, soal pakaian, soal rakan taulan dan pelbagai lagi yang kadang-kadang memerangkap diri mereka sendiri. Mari kita berkongsi cerita majidah.

2.
Teka teki.

Apa jawapannya wahai Majidah.

Bulu bertemu bulu. Bila diselak nampak biji hitam. Di tepi-tepinya semua putih. Tetapi apabila ditenyeh (gosok) dia menjadi merah dan berair. Apa bendanya?

Majidah: Heeee Pak Njang pengotor. Cikgu tak boleh bercakap lucah macam tu. Majidah, malu nak jawab. heee...
Mansaari: Huwii.. Ini cikgulah. Ini teka teki. Jujur. Bukan lucah. Otak kamu itulah yang telah rosak.
Majidah : Hoh. Tak percaya. Heee pengotor. Kalau tak lucah Pak Njang beri jawapan.
Mansaari: Boleh. Satu ringgit. Sebab ini ilmu tau.
Majidah : Ok.
Mansaari: Mata.
Majidah: Sebab apa?
Mansaari: Ya lah, tengok mata, ada bulu mata bertemu, .................
Majidah : Ohhh..........
Mansaari: Ok. Minta seringgit.

3.
Namanya mudah. Majidah binti Kipli. Dia berkecil hati apabila rakan sekolah mengejek nama bapanya. Kipli. saya katakan 'Kipli' itu diambil sempena nama nabi Dzulkifli. Oleh kerana masa dahulu datuk Majidah tidak mempunyai ilmu dan tinggal di pendalaman, maka disebutkan sahaja 'Kipli'. Nama itu cantik dan unik. Kini dia bangga kerana dia satu-satunya yang mempunyai nama bapa yang unik.

4.
Pak Njang tahu tak mengapa Jidah tidak mahu belajar di SK Sri Gunong? Ada seorang cikgu selalu kutuk Jidah. Hari-hari. Dia kata Jidah tak layak duduk dalam kelas 6M. Ada orang lain lebih layak. Dia kata, "awat hang ingat bapa saudara hang guru besar cikgu tak berani nak kata kat hang dan ......... lagi dan lagi hingga airmata bercucuran".

Rupa-rupanya hampir setahun lebih dia menyimpan luka perasaan di luar pengetahuan saya. Saya turut sedih bukan kerana dia anak saudara saya tetapi penghinaan yang dia terima amat mendalam dan memberi kesan dendam terhadap guru.

Kepada guru, beringatlah... kesan didikan sama ada baik atau buruk akan sentiasa berkekalan di hati pelajar. Sekali terpalit arang wajah bersih tercoreng jua.