Thursday, November 20, 2008

Pendidikan Alam Sekitar 1

Waktu saya menjadi pentadbir sekolah, saya mengambil sikap sama seperti Tan Sri Sanusi Junid. Urustadbir ini akan berkesan jika kita mempunyai maklumat. Data. Sumber maklumat dan data boleh kita perolehi melalui pembacaan, pemerhatian, perkhabaran, gambar dan perbualan. Sekiranya kita mempunyai maklumat/data maka banyaklah rahsia yang menjadi modal dan senjata dalam pentadbiran. Ini tidak bermakna cara itu adalah yang terbaik. Secara kebetulan gaya kepimpinan saya dengan TS Sanusi agak sama. Pentadbiran ini adalah seni. Ini bermakna kita boleh memilih gaya kepimpinan berasaskan kepada wadah dan matlamat kita. Pilihlah. Semuanya tidak salah asalkan hala tuju dan visinya tercapai.

Menjadi ketua dalam sesuatu pentadbiran pasti akan berhadapan dengan cabaran. Itu satu kepastian. Ketua mesti mempunyai keberanian, berilmu, sabar dan peka. Segala nilai murni patut dimiliki biarpun pada ketika tertentu kita tidak berupaya lagi mempertahankan nilai itu kerana nilai itu tidak ada dan tidak diguna pakai di pihak kedua atau ketiga.

Sembang-sembang kali ini saya ingin membawa isu pendidikan alam sekitar. Tidak mudah untuk menerapkan asuhan agar anak didik kita peka dengan alam sekitar. Mendidik untuk sentiasa jadi bersih sahaja pun tidak menjadi. Ada guru yang marah kerana didikan dan asuhannya tidak pernah diamal oleh murid. Kempen 'SAMPAH BUANG DALAM TONG SAMPAH' tidak berjaya 100%. Masih ada pelajar yang menyelitkan sampah di celah-celah pohon bunga. Pembalut dibuang ke longkang dan parit. Mengapa?

Satu hari saya masuk ke kelas dan bertanya kepada pelajar dan meminta mereka mengeluarkan kertas tulis dan pena. Saya minta mereka senaraikan apa yang mereka anggap sampah di sekitar sekolah. Apabila dianalisis, saya dan rakan-rakan terkejut kerana bagi pelajar, mereka keliru apa yang dikategorikan sebagai 'sampah'. Bagi pelajar; tisu, bekas minuman, surat khabar dan daun-daun bukan 'sampah'. Pada pemahaman mereka 'sampah' adalah sesuatu yang 'kotor'. busuk, dan menjijikkan. Jadi surat khabar, dedaunan, batu bata, rantingan, kertas comotan, bunga-bungaan yang berguguran, plastik bungkusan, kapur tulis, tong cat, peralatan terbuang, kerusi meja yang rosak adalah bukan sampah. Maka disebabkan pemahaman itu mereka tidak mempedulikan persekitaran yang dicemari dengan benda-benda tersebut. Lucu. Buatlah kajian maka akhirnya kita akan tahu betapa maklumat dan data itu perlu kepada kita untuk mengurus sumber manusia untuk tujuan mendidik.

No comments: