Kolam Ikan. Ada dua buah kolam ikan dibina di sekolah. Satu berdekatan tangga blok Pentadbiran dan satu lagi di sisi bangunan blok D. Kedua-dua kolam itu diisi dengan ikan ternak. Satu diisi dengan ikan koi dan satu lagi ikan talapia.
Kolam yang diisi dengan ikan koi sering menarik perhatian kerana warnanya yang pelbagai dan cantik. Sementara di kolam satu lagi juga menarik perhatian pelajar kerana ikan talapia sangat cepat membiak. Jumlah ikan yang bertambah secara berperingkat-peringkat menjadikan kolam talapia padat. Ini menyebabkan lalu lintas ikan-ikan di dalam kolam itu menjadi menarik. Jika diteliti ia seakan-akan sama dengan aktiviti kehidupan manusia yang menggunakan laluan yang sibuk di bandar.
Akhirnya ketika musim cuti sekolah semua kolam menjadi kosong. Nyatalah segala yang menarik itu rupa-rupanya menjadi minat kepada manusia untuk mendapatkannya secara percuma biarpun secara tidak halal.
Apabila sekolah dibuka ada pelajar yang menangis kerana ikan kesayangan mereka telah hilang dari kolam. Setelah diselidiki pelajar-pelajar ini adalah di antara petugas yang memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut. Dari peristiwa ini saya mendapat banyak keinsafan:
i. Sebahagian pelajar membuat tanggapan bahawa ikan-ikan itu tidak diberi makanan sepanjang cuti panjang persekolahan.
ii. Masih ada manusia yang lebih mementingkan kepuasan diri sendiri daripada berkongsi kepuasan dan kegembiraan secara bersama.
iii. Kasih sayang perlu dipupuk, kesedihan perlu dipujuk.
iv. Dalam kehidupan ada sesuatu yang berupaya dibeli tetapi tidak semua yang boleh dibeli dan dikuasai.
v. Kita menangis untuk segala yang kita sayangi dan sesudah yang kita sayangi itu tiada lagi.
No comments:
Post a Comment